UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SINTOK: Lemang membangkitkan suasana raya, kemeriahan dan mengeratkan silaturahim terutamanya pada hari raya malah kewujudannya menambah seri di Aidilfitri.

Lemang sedap dinikmati bersama-sama pelbagai jenis hidangan seperti rendang, serunding, kuah kacang, ayam masak merah di samping mengenyangkan kerana diperbuat daripada beras pulut yang tinggi karbohidrat.

Di sebalik keenakan lemang rupa-rupanya memasak lemang bukan mudah kerana memerlukan petua dan teknik yang betul untuk mendapatkan rasa dan tekstur yang hebat.

Pengusaha Lemang Maksu Tan Warisan Tok Man di Charuk Pelanduk, Che Tan Man berkata, memasak lemang menggunakan kaedah tradisional amat penting untuk mengekalkan keenakan resepi warisan.

“Memasak lemang mengambil masa yang lama dan renyah memerlukan seseorang yang pandai mengawal api yang digunakan.

“Seminggu sebelum puasa makcik sediakan 10 guni beras lebih banyak dari hari biasa memandangkan bulan puasa lemang sangat laku, sehingga mencecah 50 kilogram beras pulut dalam masa 2 hari,” ujarnya yang mesra disapa Maksu Tan,” ujarnya.

Tiga bahan utama untuk menghasilkan lemang ialah buluh, buah kelapa dan kayu api. Bekalan ketiga-tiga bahan asas ini diperoleh daripada penduduk kampung sekitar Sik secara tetap. Peraih akan menghantar buluh, kelapa dan kayu api secara berkala.

“Bahan-bahan mentah yang digunakan untuk memasak lemang pula termasuklah beras pulut, santan, garam, daun pisang dan buluh yang memudahkan proses memasak.

“Selain daun pisang yang digunakan untuk membuat lemang kita turut menggunakan daun lerek atas permintaan pelangan yang memberi rasa dan aroma yang unik,” katanya.

Sebanyak 40 batang lemang dijual setiap hari dengan harga antara RM10 sehingga RM12 bergantung kepada saiz buluh.

Selain lemang, makanan sampingan lain turut dijual seperti rendang, serunding dan dodol akan meneruskan perniagaan lemang ini yang menjadi warisan keluarga dan sumber pendapatan.

Maksu Tan telah mengusahakan lemang ini kira-kira 20 tahun lalu yang diwarisi daripada ibu mertuanya selain menjadi sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

Melihat potensi yang cerah dalam perusahaan ini perniagaan lemang ini turut diwarisi oleh anak-anaknya yang masing-masing mengusahakan empat gerai lemang di lokasi yang sama.
“Kami anak beranak membuka gerai lemang setiap hari di mana kita ada 5 gerai dengan purata 40 batang sehari bagi setiap gerai,” tambahnya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Salmah Omar berkata, produk agropelancongan yang berpotensi untuk berkembang di daerah Sik Kedah adalah berasaskan kulinari atau makanan.

“Salah satu makanan istimewa yang terdapat di Sik ialah lemang yang dijual sepanjang tahun. Gerai Lemang Warisan Maksu Tan terletak di sebelah kanan jalan raya utama selepas susur keluar dari Tol Gurun menuju ke Pekan Sik.

“Istimewanya lemang ini dijual setiap hari tanpa mengira musim perayaan atau hari biasa dan gerai dibuka setiap hari kerana mempunyai peminat setia,” katanya.

Beliau menjalankan kajian ini memandangkan lemang berada di bawah kategori kulinari yang juga makanan tradisional masyarakat Melayu dan kebanyakan penduduk Sik terdiri daripada orang Melayu.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan yang dibiayai
oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di bawah Geran Fundamental Research Grant Scheme (FRGS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *