INASIS Proton berdialog bersama Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Yogyakarta
YOGYAYAKARTA: Seramai 24 peserta terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa & Residen Siswa (JKPSRS) Inapan Siswa (INASIS) Proton, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melawat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah, Daerah Istimewa Yogyakarta (DPRD DIY), baru-baru ini di bawah anjuran Program Proton International Outbound Mobility Jejak Jaringan Dua Hala UUM-Indonesia.
Pengetua INASIS Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin berkata, lawatan ini bertujuan untuk menimba ilmu secara langsung daripada pemimpin, institusi kerajaan dan swasta di Indonesia.
Menurutnya, peserta berpeluang memahami struktur, fungsi dan peranan DPRD DIY sebagai badan perwakilan rakyat yang penting dalam sistem pemerintahan daerah di Indonesia.
Katanya, selain itu, lawatan ini juga memberi peluang kepada pemimpin pelajar untuk mendapat pendedahan dan mempelajari tentang kepelbagaian etnik, agama dan budaya masyarakat Indonesia.
“Lawatan ini berpotensi untuk memperkuat hubungan antara UUM dan institusi di Indonesia, mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus mengembangkan kerjasama yang saling menguntungkan dalam bidang pendidikan dan pembangunan pelajar.
“Lawatan ini juga merupakan suatu pengalaman yang amat bernilai dalam memupuk kemahiran jaringan dua hala atau ‘networking’ antara kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Kabag Pembentukan Produk Hukum dan Pengajian DPRD DIY, Rio Kamal Syeifa yang memimpin lawatan ini berkata, lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk memahami fungsi dan peranan institusi-institusi pemerintahan di Indonesia, tetapi juga untuk mengembangkan wawasan mereka mengenai kepelbagaian budaya dan etnik di rantau ini.
Melalui pendedahan seperti ini, menurutnya, beliau berharap pelajar dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, memahami isu-isu global, dan seterusnya meningkatkan kemampuan mereka dalam membina jaringan profesional yang luas.
“Ini adalah langkah penting dalam mempersiapkan mereka untuk menjadi pemimpin masa depan yang berwawasan luas dan berpengetahuan mendalam.
“Pelajar bukan sahaja dapat memahami secara lebih mendalam tentang sistem pemerintahan dan struktur politik di Indonesia, tetapi juga dapat meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi antara budaya, adaptasi dalam persekitaran baru, dan pembangunan kepimpinan,” katanya.
Peserta, Izzat Hanafi berkata, pengalaman ini sangat berharga kerana ia membuka mata terhadap betapa pentingnya memahami budaya dan sistem pemerintahan negara lain untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan.
“Lawatan ini juga membantu saya untuk mengukuhkan kemahiran komunikasi saya dalam suasana antarabangsa dan memperluas jaringan saya dengan pemimpin pelajar dari negara lain.
“Saya yakin pengalaman ini akan memberikan manfaat jangka panjang dalam kerjaya dan kehidupan saya,” katanya.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyerahan cenderahati sebagai tanda penghargaan di antara kedua-dua pihak, sekali gus memperkukuhkan ikatan antara pelajar UUM dan institusi di Yogyakarta. – Mohamed Nazreen Shahul Hamid