UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SINTOK- Sejak penubuhan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 1984, Naib Canselor UUM pertama iaitu Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh telahpun meletak aspirasi UUM untuk menjadi sebuah universiti terkemuka iaitu sebagai universiti ‘Harvard of The East’. Aspirasi ini perlu direalisasikan walaupun menempuh pelbagai zaman.

Berucap sempena Majlis Anugerah Jaya Universiti Utara Malaysia (MAJU) 2022, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menegaskan bahawa misi membawa kecemerlangan universiti tidak disandar pada soal siapa legasi seterusnya. Usaha membawa kegemilangan UUM perlu sentiasa disegarkan dengan pelbagai pendekatan dan strategi baharu oleh setiap barisan kepimpinan universiti yang diberi amanah.

Menurut Haim Hilman, tahun ini, universiti memasuki usia 39 tahun yang lahir membawa amanah untuk anak bangsa. Kita diinspirasi oleh gagasan murni daripada pengasas-pengasas ulung terdahulu seperti Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh. Mereka merintis universiti ini dengan mengimpikan UUM untuk menjadi ‘Harvard of The East’.

“Ia bukan sesuatu yang dipandang enteng sebaliknya gagasan itu memberi makna besar sebagai panduan untuk kita berusaha ke arahnya. Oleh demikian, siapa pun yang memimpin universiti ini perlu melipatganda usaha, melakukan sesuatu yang lebih daripada kebiasaan. Tidak mustahil untuk mencapainya.

“Ia cuma perlukan keyakinan dan komitmen luar biasa. Buktinya ada. Peningkatan ranking yang dicapai dalam pelbagai bidang penarafan sehingga menjadikan UUM kini kedua terbaik di Malaysia adalah bukti bahawa kita (UUM) ini boleh”, katanya.

Program Strategik, momentum kejayaan UUM

Bas MEKAR yang akan digunakan untuk mempromosi universiti.

Dalam ucapan sama, Haim Hilman menyatakan bahawa untuk kekal menjadi yang terbaik perlu ada perancangan strategik. Dalam keterbatasan sumber, universiti seharusnya bijak mengolah sumber yang ada. Malah perlu menjana sebanyak mungkin pendapatan supaya kebergantungan kepada dana kerajaan tidak lagi menjadi amalan selamanya. Justeru, pelbagai program strategik disusun seperti Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR),  bertujuan untuk memacu momentum UUM.

“Untuk menjadi ‘Harvard of The East’, fasiliti yang kita sediakan kepada pelajar mesti berkualiti dan seiring dengan hasrat. Tetapi tidak perlu kepada kos yang banyak. Peningkatan kos boleh dielakkan jika penyelenggaraan dibuat dengan baik.

“Kita mesti ada keupayaan sendiri. Jika kita boleh menjana sebanyak mungkin pendapatan universiti secara berfasa, kita mampu berdiri sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan pusat. Namun, untuk sampai kepada tahap ini sedikit pengorbanan dan usaha mesti dilakukan bersama.

“Universiti perlu lakukan penjimatan. Elakkan pembaziran serta laksanakan program universiti yang benar-benar memberi impak. Program-program akademik yang ditawarkan perlu melihat kepada keperluan dan diurus secara strategik tanpa pembaziran. Keupayaan tenaga akademik dari segi pengajaran, penyelidikan, perundingan dan penerbitan diperkasa. Pentadbir perlu memantapkan aspek pengurusan universiti agar usaha menggemilangkan universiti ini mendapat sentuhan yang terkemuka,” ujarnya lagi.

Ilmu agama seiring

Prof. Dr. Haim Hilman melancarkan Program Sijil Eksekutif Kepimpinan Islam dan Komuniti (SKIL).

Dalam program sama, Haim Hilman yang diiringi Pengarah Pusat Islam, Zar’ Ei Zakaria turut melancarkan Program Sijil Eksekutif Kepimpinan Islam dan Komuniti (SKIL) yang bakal menjadi platform untuk memperkasa ilmu pengetahuan agama pelajar.

Katanya, sebagai warga pendidik dan pentadbir universiti, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan pelajar turut diterapkan dengan ilmu pengetahuan agama. Justeru usaha ke arahnya perlu digerakkan agar menjadi benteng kepada kekuatan rohani pelajar.

“Terima kasih kepada Pusat Islam kerana mengambil pendekatan strategik untuk memastikan penerapan ilmu agama kepada pelajar tidak terpisah.

“Mereka (pelajar) adalah tanggungjawab kita semua. Kita bertanggungjawab untuk membentuk sahsiah anak-anak ini kerana mungkin di masa hadapan mereka menjadi sebahagian kehidupan kita,” katanya.

Iktiraf usaha memajukan UUM

Majlis Anugerah Jaya Universiti Utara Malaysia diadakan bagi mengiktiraf sumbangan warga kampus ini.

Sebanyak 53 kategori Anugerah Kecemerlangan Pelan Strategik 2022 telah disampaikan sempena Majlis Anugerah Jaya UUM (MAJU) yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah. Kategori anugerah tersebut melibatkan 41 penerima terdiri daripada tenaga akademik dan pentadbir dari pelbagai pusat pengajian serta pusat tanggungjawab. Manakala lima kategori anugerah disampaikan kepada 14 penerima sebagai pengiktirafan atas pencapaian kecemerlangan kualiti (QE) dan Swaakreditasi 2022. 

Dalam pada itu, UUM berjaya mengekalkan pengiktirafan The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) bagi tempoh lima tahun lagi. Dengan kejayaan tersebut, seramai sembilan penerima mewakili pelbagai pusat pengajian dan jabatan diberi pengiktirafan atas komitmen sehingga UUM mendapat pensijilan semula AACSB.

Di akhir ucapannya, Haim turut mengumumkan tiga Pusat Pengajian Terbaik iaitu Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan serta Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML). Ketiga pusat pengajian tersebut masing-masing dianugerahkan wang bernilai RM20,000; RM15,000 dan RM10,000.

Menurut beliau penganugerahan itu adalah hasil kejayaan penjimatan strategik yang dilaksanakan oleh UUM semenjak awal 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *