UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

1 Alumni 1 Ringgit manfaatkan alumni UUM yang memerlukan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Alumni/UUM Today

AMPANG: Bagi meringankan bebanan alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memerlukan, Pusat Alumni telah melancarkan Kempen Sumbangan 1 Alumni 1 Ringgit, semalam.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan di Futsalhub.

Menurut Dr. Mohd Foad, sumbangan daripada kempen ini akan disalurkan ke Tabung Kebajikan Alumni (Alumni Care) yang diuruskan oleh Pusat Alumni UUM.

Menurutnya, hasil kutipan tersebut akan digunakan sebagai sumbangan kepada alumni yang memerlukan melalui Skim Tabung Kebajikan Alumni.

“Saya ingin mengajak semua alumni untuk sama-sama menyumbang kepada universiti melalui kempen ini yang dianjurkan oleh Pusat Alumni.

“Sejak tahun lepas, sebanyak RM15,500 telah disumbangkan kepada alumni yang layak,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merasmikan Karnival Futsal Alumni UUM 2023 (KFAUUM23).

Karnival Futsal Alumni UUM merupakan program tahunan yang dianjurkan sejak 2014 oleh jawatankuasa yang berbeza dalam kalangan alumni UUM.

Dr. Mohd Foad berkata, mana mungkin karnival sedemikian dapat dilaksanakan sekian lama jika tiada persefahaman dan kesepakatan sesama alumni.

Tambahnya, Karnival Futsal Alumni UUM ini juga telah dianjurkan oleh ‘batch’ terakhir matrikulasi UUM iaitu kumpulan terakhir di Pusat Matrikulasi UUM (kini Pusat Asasi Pengurusan) yang menamatkan pengajian pada 2003.

“Pada karnival kali ini, kita mendapat penyertaan terbesar alumni seramai 600 orang, melibatkan 56 pasukan futsal dan bola jaring mengikut kategori Legend, Super Senior, Senior dan Junior.

“Saya berharap program seperti ini dapat membantu kita semua dalam membina hubungan jaringan kerja di antara para alumni serta di antara universiti dengan alumni di mana melaluinya kita boleh bekerjasama untuk pembangunan dan manfaat kepada semua pihak,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Projek KFAUUM23, Abdul Malek Sanusi Mazlan merakamkan penghargaan terima kasih kepada UUM yang sentiasa menyokong aktiviti alumni, sekali gus membuatkan alumni berasa dekat dengan universiti.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Zambri Mat yang juga Naib Presiden Persatuan Alumni UUM dan Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don.