Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjadi ‘menteri pilihan rakyat’ menerusi dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Dapatan kaji selidik itu menyaksikan populariti Loke mendahului Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memperoleh 49 peratus undi, sekali gus meletakkan Anwar di tempat kedua dengan 40 peratus undi.
Selain itu, turut menjadi pilihan rakyat ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berada di tempat ketiga dengan 39 peratus undi.
Dua lagi tempat dalam senarai Top 5 Menteri Pilihan Rakyat diisi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan 34 peratus dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman yang memperoleh 33 peratus undi.

Beberapa lagi menteri yang turut menunjukkan prestasi baik berdasarkan pilihan rakyat antaranya ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (30 peratus), Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (28 peratus) dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Salahuddin Ayub (27 peratus).
Kaji selidik secara dalam talian itu digerakkan secara bersama oleh Sinar Harian, Astro AWANI, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research.
Lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari tersebut.
Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia.