Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today
SINTOK: Seramai 100 pelajar dari Universitas Islam Negeri (UIN) Bandung, Mataram dan Aceh, Indonesia akan memulakan pengajian sarjana mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada September ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, majlis menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan UIN akan dimeterai pada Mei depan melibatkan tiga UIN dari Bandung, Mataram dan Aceh.
“Dalam perbincangan dengan Direktor Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama (KEMENAG) Indonesia, Prof. Dr. Muhammad Ali Ramadhani telah memaklumkan bahawa 100 pelajar sarjana kumpulan pertama ini akan diberi biasiswa sepenuhnya termasuk kos pengajian, kursus Bahasa Inggeris, elaun, bayaran urusan visa dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Prof. Dr. Muhammad Ali Ramadhani yang ditemui berkata, universiti ini dipilih untuk pelajar-pelajar sarjana menyambung pengajian kerana kedudukan UUM dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings yang sentiasa menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Bagi peringkat awal ini, kami akan menghantar pelajar seramai lebih kurang 100 orang yang melibatkan tiga UIN dan sekiranya menepati apa yang kami hasratkan, maka 58 UIN lagi akan menyusul untuk menghantar pelajar perguruan tinggi mereka nanti,” katanya.
Pengajian sarjana ini mengambil masa dua tahun iaitu setahun di UUM dan setahun lagi di UIN.
Tambah beliau, pemilihan UUM ini bukan sahaja disebabkan pencapaian cemerlang universiti ini malah faktor kemudahan prasarana, keselesaan persekitaran kampus, nilai-nilai persahabatan dan peradaban adalah sebab utama universiti ini dipilih.
“Semoga proses MoU dan pendaftaran pengajian sarjana kumpulan pertama ini akan membawa kejayaan dan membuka peluang untuk pengajian doktor falsafah (PhD) pula,” ujarnya.
