UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

104 pelajar Asasi UUM timba ilmu kepimpinan bersama personaliti TV dan media sosial

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

SINTOK: Seramai 104 pelajar Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang menimba ilmu kepimpinan bersama dua personaliti TV dan media sosial iaitu Ahmad Fadzli Abd Aziz dan Farhaan Rahmat di Kem Kepimpinan Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024 yang diadakan di Kem PLKN Sintok, baru-baru ini.

Ahmad Fadzli yang juga seorang kaunselor berdaftar turut menjayakan slot ‘leadership games‘ yang bertujuan untuk membentuk pemikiran ‘visionary leader’ serta pemimpin yang berani mengambil peluang dan risiko.

Farhaan Rahmat yang mempunyai 467 ribu pengikut di TikTok pula teruja dengan semangat dan kemampuan pelajar asasi pengurusan menyelesaikan tugasan yang diberi.

Beliau yang juga alumni UUM menitipkan pesanan kepada peserta supaya tidak berlebihan menggunakan gajet sehingga menimbulkan ketagihan dan elakkan bercinta semasa masih belajar kerana ia boleh mengganggu fokus pembelajaran.

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, program Kem Kepimpinan adalah program tahunan anjuran Pusat Asasi Pengurusan (PAP) bertujuan untuk memperkasakan sahsiah dan potensi diri EXCO dan ahli-ahli jawatankuasa kepimpinan pelajar Asasi Pengurusan.

“Selain slot ceramah kepimpinan dan ‘leadership games‘ daripada penceramah jemputan, peserta juga mengikuti slot aktiviti fizikal seperti ‘explorace‘ dan ‘war games‘ yang dikendalikan oleh fasilitator Kem PLKN.

“Aktiviti ini bertujuan untuk memupuk semangat ‘esprit de corp’ dalam kalangan peserta yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Menurut peserta terbaik program, Muhammad Shahrull Irfan Md Shukri, pengisian program selama tiga hari dua malam itu bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan diri dan kesiapsiagaan peserta untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin pelajar, malah memberikan mereka ilmu dan kemahiran kepimpinan yang berguna untuk kehidupan mereka.

Penutup program telah disempurnakan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Beliau turut bersama-sama dengan Pengarah PAP dalam sesi penyampaian hadiah dan sesi rakaman video ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia. – Nur Hidayah Abdullah dan Nur Shazwani Shariffudin.