UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

105 pelajar Asasi Pengurusan diraikan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan

SINTOK: Seramai 105 pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2022/2023 telah diraikan dalam Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sijil Anugerah Pengarah anjuran Pusat Asasi Pengurusan (PAP) di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, baru-baru ini.

Pada majlis itu, kesemua pelajar yang memperolehPurata Markah Semester (PMS) 3.67 dan ke atas semasa AP221 menerima sijil Anugerah Pengarah yang disampaikan Pengarah PAP, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa.

Turut diraikan pasukan yang mewakili UUM dalam pertandingan inter-asasi/matrikulasi seperti Debat Intervarsiti, Pertandingan Inovasi Inter Asasi Matrikulasi (PIItrAM), Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI) dan Sukan Asasi Malaysia (SAM). Pertandingan anjuran Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam yang diadakan pada setiap tahun ini berlangsung sepanjang bulan Februari sehingga Mac.

Mohamed Ali dalam ucapan beliau menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian pelajar dalam pelbagai aspek dan mengharapkan momentum kecemerlangan diteruskan sehingga tamat pengajian di UUM.

“Terima kasih diucapkan kepada semua tenaga pengajar atas komitmen yang telah diberikan untuk membimbing pelajar Program Asasi Pengurusan UUM menjadi pelajar cemerlang akademik dan sahsiah diri.

“Tidak lupa juga kepada warga PAP yang tidak jemu mencurah idea dan tenaga dalam menjayakan setiap aktiviti bersama pelajar,” katanya.

Pusat Asasi Pengurusan juga buat julung kalinya menyampaikan sijil Anugerah Sahsiah Terpuji dan Anugerah Khas Pengarah di mana pelajar dipilih berdasarkan kriteria-kriteria khas yang ditentukan pengurusan PAP bersama tenaga-tenaga pengajar PAP.

Bagi kategori Anugerah Sahsiah Terpuji dinobatkan kepada Muhammad Adib Rahimi Zainal Abidin dan Muhammad Rasyidul Aliff Rithuan. Empat pelajar yang menerima Anugerah Khas Pengarah pula ialah Muhammad Musyrif Romli, Mathavans a/l Manisegaran, Aisyatus Syuhada Mohd Nasir dan Ayu Umairah Jamiran.

Salah seorang penerima Anugerah Khas Pengarah, Muhammad Musyrif sempat berkongsi cabaran utama yang dihadapi semasa semester satu adalah apabila wajib mengikuti tujuh kursus dalam dalam keadaan masih baharu membiasakan diri dengan bentuk pembelajaran di alam universiti.

“Alhamdulilah, berkat doa ibu bapa, bantuan dan bimbingan rakan-rakan serta pensyarah, saya berjaya memperoleh keputusan PMS 3.97 serta mampu bergiat aktif dalam aktiviti persatuan dan kokurikulum,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Izzul Abdul Rafi, menzahirkan perasaan syukur kerana dapat menyumbang pingat gangsa kepada UUM dalam Sukan Asasi Malaysia dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh PAP dan Pusat Sukan.

Begitu juga Muhammad Adib Rahimi, bekas pelajar tahfiz yang cemerlang dalam SPM (12A) dan memperoleh PMS 3.92 mengucapkan terima kasih atas penghargaan yang diberikan walaupun merasakan beliau belum cukup layak untuk menerima Anugerah Sahsiah Terpuji.

Beliau turut berkongsi nasihat kepada pelajar supaya sentiasa menjaga hubungan dengan tuhan dan mempunyai niat yang betul semasa menuntut ilmu.