UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

119 atlet UUM bakal berentap di SAM2024, sasar 7 pingat emas

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK, 27 Februari – Universiti Utara Malaysia (UUM) mensasarkan tujuh pingat emas pada Kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM) Edisi Ketujuh bermula 1 hingga 3 Mac ini yang akan diadakan di Pusat Sukan UUM.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, seramai 119 wira dan wirawati Asasi UUM akan mewakili universiti dan memikul harapan serta impian UUM di persada sukan peringkat nasional.

Menurutnya, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang gigih dan beliau berharap agar setiap pasukan memberikan prestasi terbaik dalam semua 11 acara yang akan dipertandingkan dalam SAM 2024.

Katanya, tanamkan azam dan tekad yang tinggi, serta menyusun strategi pasukan dengan baik.

Dr. Mohd Foad beramah mesra dengan atlet UUM yang akan mewakili universiti ke SAM2024.

“Pihak UUM meletakkan harapan agar pasukan kita dapat merangkul sekurang-kurangnya 7 emas, 3 perak dan 2 gangsa serta berada di tiga (3) pasukan teratas.

“Jadikan pencapaian itu kelak menjadi lebih bermakna pada tahun ini sempena UUM menyambut Hari Pengasasan UUM ke-40 dan Pusat Asasi Pengurusan (PAP) menyambut ulang tahun ke-10,” katanya di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pusat Asasi Pengurusan UUM di Foyer Canselori Sultan Sallehuddin, semalam.

Sebanyak 11 acara dipertandingkan iaitu karom (Berpasukan), petanque (Berpasukan), catur (Berpasukan Lelaki dan Wanita), badminton (Berpasukan), bola jaring (Berpasukan Wanita), futsal (Berpasukan Lelaki), ping pong (Berpasukan), bola tampar (Berpasukan Lelaki dan Wanita), olahraga (Balapan) 100 meter (Lelaki dan Wanita), 200 meter (Lelaki dan Wanita), 400 meter (Lelaki dan Wanita), 800 meter (Lelaki dan Wanita), 1500 meter (Lelaki), 4 x 100 meter (Berpasukan Lelaki dan Wanita), 4 x 400 meter (Berpasukan Lelaki dan Wanita), E-Sport: MLBB (Berpasukan) dan E-Sport: PUBG (Berpasukan).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pengarah, Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan pegawai-pegawai universiti.