UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

14 graduan Jabatan Perangkaan Malaysia diraikan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Seramai 14 graduan Sarjana Ekonomi yang merupakan kakitangan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah diraikan dalam Majlis Graduasi Graduan Sarjana Ekonomi UUM-DOSM anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) di EDC UUM, baru-baru ini.

Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri berkata, graduan wajar berasa bangga dengan usaha dan kejayaan yang telah dicapai.

Menurutnya, ijazah yang diperolehi adalah bukti kebolehan dan ketekunan masing-masing setelah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit.

“Saya berharap program kerjasama UUM-DOSM ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan pihak SEFB sentiasa bersedia menerima lebih ramai lagi pegawai yang berhasrat menyambung pengajian bukan sahaja di peringkat sarjana, tetapi juga di peringkat Doktor Falsafah,” katanya.

Program kerjasama sulung ini bermula sejak 2018 dan telah melahirkan graduan pertama pada Majlis Konvokesyen Ke-35 pada Julai lalu.

Hadir sama meraikan, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin di mana dalam ucapannya berkata, inisiatif kerjasama itu merupakan salah satu strategi bagi merealisasikan agenda DOSM untuk menggalakkan lebih ramai pegawai melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran.

“Tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing, malah berani menyahut cabaran negara.

“Ijazah yang diterima ini diharap dapat meningkatkan keupayaan pegawai DOSM sebagai penjawat awam kerana memiliki kebolehan mengaplikasi data bagi kegunaan industri adalah penting bagi pegawai DOSM. Bidang statistik dan ekonomi adalah saling bergantungan dan berupaya menghasilkan sinergi untuk pembangunan negara,” ujar beliau.

Sementara itu, graduan, Shafizaermawaty berkata, cabaran utama adalah mengimbangi kesibukan bekerja sebagai pegawai DOSM dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu, isteri dan pelajar.

Namun, menurutnya, dia bertahan tanpa gugur, bermula dengan kepahitan dan berbuahkan kemanisan di akhir perjalanan.

“Terima kasih kepada pihak SEFB, pensyarah, pengurusan DOSM dan tidak lupa ahli keluarga yang selama ini memberi semangat, dorongan serta pengorbanan di sepanjang tempoh pengajian,” katanya.   

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Perkhidmatan, Zainuddin Ahmad dan Pengarah DOSM Kedah, Nadia Marzuki. – Robayah Md. Hassan