UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

15 pelajar Asasi UUM terima Anugerah Program Biasiswa Pendidikan PETRONAS

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

KUALA LUMPUR: Seramai 15 pelajar Program Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima tajaan pendidikan di bawah Program Biasiswa Pendidikan PETRONAS (PESP) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh. Hadir sama, Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, PETRONAS, Datuk Bacho Pilong.

Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman menzahirkan ucapan tahniah dan mengharapkan anugerah penajaan yang diterima menjadi pemangkin semangat mereka untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah sehingga tamat pengajian di UUM.

“Pusat Asasi Pengurusan berbesar hati menerima kepercayaan PETRONAS untuk menempatkan 15 pelajar PESP bagi Sesi Akademik 2023/2024.

“Pelajar-pelajar ini diberi penajaan pendidikan bermula pengajian asasi sehingga tamat pengajian sarjana muda bagi program-program terpilih iaitu Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan Sarjana Muda Pemasaran,” ujarnya.

Menurut beliau, keputusan peperiksaan semester pertama (AP231) Program Asasi Pengurusan pelajar PESP amat memberangsangkan di mana tujuh daripadanya memperoleh Purata Mata Semester (GPA) 4.00, manakala lapan orang lagi memperoleh keputusan GPA antara 3.76 – 3.88.

Sementara itu, penerima, Elvin Chai Ming Jun yang memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melahirkan perasaan gembira apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian di UUM menerusi tajaan PESP.

“Saya gembira dapat menyambung pengajian di UUM kerana universiti ini mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi dan mempunyai persekitaran yang indah”, ujarnya dari Sarawak.

Seorang lagi pelajar tajaan PESP yang juga memperoleh 10A SPM, Muhammad Iqbal Irfan Alli turut teruja dengan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di UUM.

Beliau mengakui bidang baharu yang dipelajari di peringkat asasi ini agak mencabar, namun akan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai impian bekerja di PETRONAS.

“Saya bersyukur dengan tajaan PESP ini dan rasa bertuah berada di UUM yang menyediakan pelbagai platform dan program pembangunan pelajar untuk memupuk bakat kepemimpinan, sebelum saya melangkah ke alam pekerjaan kelak. Terima kasih PETRONAS dan UUM!”, ujar anak kelahiran Terengganu ini.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar), Pusat Asasi Pengurusan, Mohd. Idzwan Yacob. – Nur Shazwani Shariffudin