KUALA NERANG – Seramai 150 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Palas, Padang Sanai, Kuala Nerang menyertai Kursus Kepimpinan Muda anjuran Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 18 September 2023 lalu.
Menurut Pengarah IPDM, Prof Madya Dr. Rohafiz Sabar program ini cetusan idea dari Yayasan Al Bukhary dan BERNAS Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya pemilihan sekolah luar bandar ini adalah bagi memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan khususnya kepada murid dari luar bandar.
“Dalam era globalisasi ini, kemajuan pendidikan menjadi salah satu asas utama dalam pembangunan negara terutama bagi membantu mereka agar dapat menghayati dan memahami betapa penting pembelajaran dan pendidikan,” ujarnya lagi.
Kursus ini melibatkan semua pemimpin murid disekolah itu yang memegang jawatan antaranya pengawas, ketua-ketua kelas, kelab, pusat sumber dan persatuan.
Dalam pada itu Guru Besarnya Zolkepli Ismail mengucapkan terima kasih kepada IPDM UUM kerana memilih sekolah ini untuk memberi kursus dan motivasi.

“UUM melalui IPDM ini merupakan IPTA pertama yang berkunjung dan memberi kursus dan motivasi kepada murid sekolah ini walaupun terletak jauh di pendalaman,” katanya.
Katanya lagi, pembangunan sistem pendidikan menjadi satu pelaburan yang bukan sahaja dapat memjamin kemajuan dan kemakmuran negara, malah ia juga melahirkan insan yang beraklak, berkemahiran, pengetahuan dan berilmu tinggi pada akan datang.
Moga kursus yang dibimbing dari pensyarah universiti ini dapat memberi pengetahuan dan membimbing murid-murid sekolah ini yang rata-rata pendapatan ibu bapa mereka bergantung kepada sektor pertanian.

Motivasi tahap asas kepada murid pra sekolah hingga darjah lima seramai 98 orang ini di bimbing oleh Felo Penyelidik IPDM, Dr. Norazita Marina Abdul Aziz.