UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

1,500 orang hadiri Majlis Berbuka Puasa UUM

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

SINTOK: Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd  Fo’ad Sakdan menghadiri majlis berbuka puasa bersama lebih 1,500 jemputan terdiri dari pihak pengurusan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), kakitangan, pelajar UUM, komuniti, anak-anak yatim dan penaja di pekarangan Masjid Sultan Badlishah, petang tadi.

Beliau dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua kerana dapat meluangkan masa untuk berbuka bersama selepas dua tahun majlis seperti ini tidak dapat dijalankan kerana pandemik COVID-19.

Katanya, sempena Ramadan tahun ini pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya sumbangan Ihya Ramadan, ceramah, aktiviti memasak bubur lambuk, sumbangan Bakul Rahmah, bantuan kepada asnaf, tajaan kepada anak yatim dan sebagainya.

“Melalui program-program seperti ini dapat kita menyemarakkan semangat kasih dan saling bantu membantu antara satu sama lain terutama di bulan mulia ini,” ujar beliau lagi.

Naib Canselor menambah aktiviti berhimpun untuk berbuka puasa secara bersama, mendengar tazkirah dan mendirikan solat secara berjemaah ini akan dijadikan tradisi setiap tahun agar keseimbangan dalam kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. 

Dalam pada itu, beliau turut berharap memandangkan Ramadan kini memasuki 10 hari terakhir maka lebih banyak amalan baik dilaksanakan termasuk menjaga hubungan dan mengeratkan hubungan silaturrahim di antara seluruh warga kampus dan komuniti di sekitar universiti ini.

Mohd Fo’ad berkata, membangunkan watak yang holistik tidak boleh mengenepikan aspek keagamaan atau kerohanian kerana ianya memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk cara fikir, keputusan dan tindakan yang baik di kalangan pelajar, kakitangan akademik, pentadbiran maupun komuniti.

Moga dengan konteks seperti ini bakat dan kepimpinan pelajar UUM khususnya akan diketengahkan, sebagai penyampai tazkirah serta imam dan bilal untuk solat fardu serta solat tarawih, dengan latihan dan bimbingan seterusnya sebagai persiapan untuk berbakti kepada masyarakat.

Di majlis ini, Naib Canselor turut menyaksikan sumbangan baju raya dari Pengurus Pemasaran Jakel Textiles cawangan Alor Star, Mohd Zamri Anuar kepada anak yatim dan pelajar universiti ini.

Manakala Syarikat Ir-Saf Holiday dan Express Sdn Bhd  dan Mutiara Concept Network Sdn Bhd turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 113 pelajar dan penghuni Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim UUM.

Mohd Fo’ad turut menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada staf Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB), komuniti dan kakitangan kampus ini dalam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.