UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

171 pelajar baharu pilih UUM lanjut pengajian

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Seramai 171 pelajar baharu telah memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melanjutkan pengajian bagi semester kedua sesi 2022/2023.

Kesemua pelajar tersebut diterima masuk ke UUM secara fizikal sepenuhnya bermula 28 Mac lalu di mana mereka merupakan calon saluran terbuka (open channel) lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / setaraf yang akan mengikuti 20 ke 22 program pengajian ditawarkan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang telah memilih UUM sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian.

Shahimi harap pelajar kuat fizikal dan mental sepanjang tempoh pengajian di UUM.

Menurutnya, beliau gembira dan berbesar hati menerima kesemua pelajar itu menjadi sebahagian keluarga besar UUM yang terdiri daripada pelajar yang kini sedang dididik untuk menjadi pelajar holistik, profesional dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.

Kata beliau, proses pembelajaran di UUM memerlukan stamina yang kuat dari aspek mental dan fizikal serta dedikasi yang tinggi untuk menjadi berdaya maju, di samping memerlukan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang sentiasa berubah.

“Saya juga ingin mengingatkan agar pelajar dapat memanfaatkan peluang yang tersedia di universiti ini dalam mengejar kecemerlangan, tambahan sebahagian program kini disediakan dalam format secara dalam talian, justeru bangunkan keupayaan dan kemahiran dalaman diri ini.

UUM terima kemasukan 171 pelajar baharu bagi semester kedua sesi 2022/2023.

“Selain itu, manfaatkan juga kecanggihan dunia digital kini terutamanya oleh media sosial. Gunakan semua cara yang boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat tepat dan berguna kepada semua pihak agar masing-masing memperoleh manfaat,” katanya pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu Semester Kedua Sesi 2022/2023 (A222) di Auditorium SOIS, hari ini.

Shahimi turut mengingatkan pelajar agar mengenang dan membalas segala pengorbanan ibu bapa yang meletakkan harapan tinggi untuk melihat kejayaan anak-anak mereka menjadi orang yang berjaya.

Pada majlis tersebut, bacaan ikrar oleh pelajar Sarjana Muda Sains (Teknologi Maklumat), Sarjan Ahmad Saiful Azrin Ahmad Shukri dan seterusnya diserahkan watikah lafaz ikrar kepada Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dengan disaksikan Shahimi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Ahmad Saiful menyerahkan watikah lafaz ikrar kepada Ahmad Rasidi (kanan) dengan disaksikan Shahimi (tengah) dan Ahmad Martadha.

Bagi sesi kemasukan ini, seramai 119 merupakan pelajar tempatan, manakala 52 lagi adalah pelajar antarabangsa dari negara seperti Indonesia, China, Yemen, Somalia, Bangladesh, Thailand dan Palestin.

Untuk rekod, sehingga Mac 2023, jumlah keseluruhan pelajar UUM adalah seramai 32, 819 orang di mana 26,924 adalah pelajar peringkat sarjana muda dan 5,895 adalah pelajar pascasiswazah.