UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

2.15 juta daftar pengundi awal PRU Thailand pada Mei

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Google

BANGKOK: Kira-kira 2.15 juta rakyat Thailand telah mendaftar sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijadualkan berlangsung pada 14 Mei depan.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sawaeng Boonmee berkata, sejumlah 2,153,450 pengundi telah mendaftar sejak ia dibuka pada 25 Mac lalu dan berakhir kelmarin.

“Seramai 2,042,381 rakyat di Thailand mendaftar untuk mengundi awal pada 7 Mei depan, manakala baki 111,069 lagi adalah warga Thailand tinggal di luar negara yang mendaftar dengan SPR.

“Bagaimanapun, bilangan pengundi awal dijangka bertambah kerana masih ada borang pendaftaran melalui pos yang belum tiba ke pejabat SPR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, laman sesawang serta aplikasi pendaftaran SPR mengalami gangguan bermula jam 8 malam hingga 11.45 malam kelmarin (waktu tempatan) berikutan ramai mendaftar pada saat-saat akhir.

Kementerian Luar telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas sistem pendaftaran pengundian luar negara secara dalam talian, untuk memastikan pendaftaran pengundian boleh diakses semua warga Thailand yang tinggal di luar negara.

Pengundi di luar negara akan mengundi di kedutaan atau konsulat jeneral atau melalui pos, seperti ditetapkan oleh kedutaan/konsulat jeneral Thailand di negara terbabit. Undi akan dikira di Thailand.

Kira-kira 52 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab memilih 400 wakil rakyat dan 100 calon ‘party-list‘ akan diputuskan melalui perwakilan berkadar. – BERNAMA