Gambar Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD)/UUM Today
SINTOK: “Saya rasa sangat bersyukur atas sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ini saya boleh memanfaatkan sepenuhnya komputer riba ini untuk kegunaan pembelajaran saya.
“Sudah lama komputer riba saya rosak sebenarnya dan saya terpaksa pinjam daripada rakan-rakan atau menggunakan perkhidmatan disediakan di Student Lounge,” kata pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Nurul Shafinah Ain Uttohjama.
Sebanyak 600 unit komputer riba diagihkan kepada anak asnaf Johor di universiti awam dan swasta oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor melalui Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Di UUM, seramai 20 orang penerima komputer riba menerima manfaat ini dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000.

Pendaftar KUIJSI, Muhammad Sanusi Md Noh berkata, sumbangan itu tidak akan berhenti setakat ini sahaja, sebaliknya banyak lagi projek yang akan dirancang bersama Persatuan Anak Johor di UUM untuk membantu dan menjaga asnaf anak Johor agar dapat meneruskan pengajian di IPT dalam suasana aman dan harmoni.
“MAINJ sentiasa peka dan cakna dengan anak dari negeri Johor yang berada dalam kategori asnaf.
“Pihak MAINJ berharap agar anak-anak asnaf dari negeri Johor tidak terputus makan dan pakaian serta keperluan harian lain,” katanya.
Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin berterima kasih kepada pihak MAINJ dan wakil KUIJSI yang hadir menyampaikan komputer riba kepada asnaf anak Johor.
Beliau berkata sumbangan ini telah memberi manfaat dan memudahkan urusan pelajar UUM khususnya.
“Pemberian sumbangan ini adalah sejajar dengan kehendak daripada Menteri Pendidikan Tinggi untuk membantu dan membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan pelajar IPT.
“Usaha murni sebegini perlu disanjung dan dihormati agar pelajar tidak tercicir dan ketinggalan dalam pembelajaran,” katanya yang mewakili Timbalan naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dr. Massudi turut berterima kasih kepada Naib Canselor yang membolehkan MAINJ memilih UUM sebagai destinasi penyaluran sumbangan komputer riba itu.
Beliau berpesan kepada semua penerima agar berusaha untuk mengekalkan pencapaian yang baik dalam akademik, bergiat aktif dan memberi sumbang bakti semula kepada pihak MAINJ dan UUM setelah bergraduasi kelak.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Huzaidy Hussain dan pegawai-pegawai SSSD serta KUIJSI.