PULAU PINANG: Seramai 16 staf akademik dan empat staf pentadbiran Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf, akan menyertai Misi Kemanusiaan Universiti Utara Malaysia (UUM) – Kem Pangkalan Annapurna (ABC) Endurance Challenge 2022 bertemakan ‘Humanizing Education’ pada 19 September 2022 ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, program yang tertunda sejak Mac 2020 akibat penularan wabak COVID-19 akan diteruskan pada tahun ini dengan kerjasama Epic Valley Holdings, Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng dan beberapa penaja lain.
“UUM berterima kasih kepada Pengarah Urusan Epic Valley Holdings dan Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng, Mejar (Kehormat) Tan Sri Dato’ Seri Dato’ Paduka Prof. Dr Fng Ah Seng JP kerana sudi menyumbangkan RM40,000 bagi menjayakan misi ini,” ujarnya dalam ucapan sempena penerimaan cek penajaan di Wisma Epic Valley, Perai, baru-baru ini.

Beliau turut berharap sumbangan dan sokongan ini dapat merealisasikan hasrat Misi Kemanusiaan UUM-ABC mencapai objektifnya.
Sementara itu, Tan Sri Fng yang juga Profesor Adjung TISSA dalam ucapannya berharap semua peserta yang akan menyertai misi ini telah bersedia dari semua aspek dan membawa nama universiti ke puncak dunia.
“Saya sentiasa memberi sokongan terutama program-program yang melibatkan pusat pengajian tinggi,” ujarnya dalam pertemuan itu.

Menurut Nor Aziah, 20 peserta yang akan menyertai program selama 13 hari ini telah bersedia dari segi fizikal dan mental termasuk merancang beberapa aktiviti ketika di Nepal antaranya bersama pelajar tahfiz dan penduduk di situ.
“Saya berharap misi kemanusiaan ke ABC ini dapat memberikan impak yang positif bagi UUM berada di persada antarabangsa,” ujarnya lagi.
Semua peserta dijangka bertolak dari KLIA pada 19 September 2022 jam 11.00 pagi dan dijangka tiba semula di KLIA pada 1 Oktober 2022 jam 5.10 pagi.