UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

2,000 penerbit tunggu jawapan RTM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) sehingga kini masih menanti jawapan daripada RTM berkaitan keputusan perolehan atau ‘pitching’ bagi program televisyen swasta yang telah dikemukakan pada Jun lalu.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli menyatakan rasa bimbang dengan perkembangan itu yang mana lebih 2,000 syarikat terbabit dalam sesi ‘pitching’ itu masih menunggu keputusan RTM.

Menurutnya, setiap tahun, RTM melakukan dua kali sesi ‘pitching’ bagi perolehan rancangan swasta.

“Bagaimanapun, pada tahun ini proses tersebut hanya dibuat sekali sahaja dan hal ini membimbangkan PTVM kerana majoriti ahli kami bergantung kepada perolehan program TV di RTM.

“Justeru, kami berharap kerajaan lebih bersikap prihatin dalam memastikan peruntukan secukupnya diberi kepada RTM agar lebih banyak peluang dapat disalur kepada program terbitan syarikat tempatan, seterusnya membantu dalam perkembangan industri kreatif tempatan,” katanya.

Jurey berkata, setiap tahun PTVM membangkitkan isu peruntukan perolehan pembelian rancangan TV RTM dan Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan bajet secukupnya bagi menampung tiga saluran milik RTM.

Tambahnya, perkara itu telah dibangkitkan pada sesi libat urus industri kreatif bersama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah, baru-baru ini.

“PTVM mencadangkan penambahan bajet di RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Selain itu, kami juga mencadangkan ekosistem yang mampu memacu industri kreatif menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Jurey harap K-KOM kaji semula sistem perolehan dengan wujud kaedah perolehan lebih efektif. Gambar FB Jurey Latiff

Jurey berkata, persatuan sangat berharap kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) memandang serius kepada isu perolehan.

Menurutnya, PTVM berharap RTM dapat membuat perolehan sebanyak dua kali setahun supaya lebih banyak syarikat mendapat peluang membekalkan program kepada stesen penyiaran itu.

Di samping itu, persatuan juga berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dapat mengkaji semula sistem perolehan dengan mewujudkan kaedah perolehan yang lebih efektif.

Ini termasuk mengklasifikasikan syarikat seperti dilakukan sektor pembinaan berdasarkan trek rekod, kemampuan kewangan dan kepakaran demi memastikan program dihasilkan berkualiti sesuai dengan bayaran tinggi.

April lalu, kebimbangan PTVM berhubung isu sesi saringan perolehan berakhir apabila RTM dilaporkan mempelawa pembekal yang berdaftar dengan K-KOMM mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP).

Ini bagi pembekalan Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan untuk siaran RTM pada 2023.

RTM menerusi kenyataan dikeluarkan dilapor mengumumkan iklan dibuka antara 20 April hingga 10 Mei lalu untuk sesi pertama membabitkan RFP Pembekalan Program TV Swasta Baharu Tempatan.

Manakala sesi kedua membabitkan tawaran RFP Pembekalan Program TV Luar Negara dan Produk Siap Tempatan yang akan dibuka antara 1 hingga 21 Jun lalu.

Sebanyak 14 kategori program TV ditawarkan bagi mengisi masa siaran di lima rangkaian saluran TV RTM. Saluran itu adalah TV1, TV2, TV Okey, Saluran Berita dan Saluran Sukan.

Antara program adalah drama, telefilem, majalah, dokumentari, animasi, travelog, bual bicara, sambung siri, realiti, sukan, candawara, cereka, muzikal dan terbuka.