Gambar Foo Jiun Loong/UUM Today
JAKARTA: Program silang budaya menerusi aktiviti mobiliti menjadi platform kepada pelajar universiti khususnya untuk lebih memahami budaya luar.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) Inapan Siswa (INASIS) Tradewinds Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program ‘Tradewinds Ace To Excellence Strategic International Mobility’ selama 10 hari bermula 23 Ogos lalu Indonesia.
Program tersebut melibatkan 24 pelajar dari JKPSRS INASIS Tradewinds diiringi lima staf pengurusan dan INASIS Tradewinds.

Pengarah Program, Foo Jiun Loong berkata, program mobiliti yang turut melibatkan pelajar Universitas Muhammadiyah Prof. DR. HAMKA (UHAMKA) itu bertujuan meningkatkan pemahaman budaya asing serta kemahiran komunikasi pelajar antara dua universiti.
Menurutnya, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan prospek akademik dan profesional pelajar kerana ia memberikan kelebihan daya saing dalam pasaran kerja kepada mereka yang mengikuti program itu.
“Tambahan pula, majikan kini mencari calon yang mempunyai pengalaman antarabangsa dan kesedaran budaya. Bukan itu sahaja, program ini juga dapat menunjukkan budaya kita sendiri kepada masyarakat di luar negara dari segi pemakaian dan tarian yang telah dipersembahkan pada malam kebudayaan.
“Dengan berbekalkan objektif program yang berimpak global, pelajar mampu untuk mengembangkan pemahaman dan kemahiran komunikasi antara budaya mereka, selain meningkatkan penguasaan bahasa dan memperoleh perspektif global. Di samping itu, ia juga dapat membantu pelajar mengembangkan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah,” kata pelajar Sarjana Muda Perbankan itu.

Sementara itu, Pengetua INASIS Proton dan Tradewinds, Dr. Asma Mat menyatakan bahawa dalam menghadapi dunia semakin mencabar, pelajar perlu bersedia untuk bersaing dalam pasaran global ini.
Katanya, beliau yakin program mobiliti program tersebut akan menjadi aset berharga kepada pelajar kerana ia akan membantu mereka untuk menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran kerja dan membuat perubahan di dunia.
“Saya menggalakkan semua pelajar mempertimbangkan untuk menyertai program mobiliti agar dapat memperoleh pelbagai input dan pengalaman yang sangat berharga untuk diaplikasikan pada masa akan datang di UUM.
“Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa pelajar. Pelajar yang belajar di luar negara biasanya memperoleh keuntungan yang ketara dalam kemahiran bahasa mereka, yang boleh membuka peluang baharu dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan peribadi,” katanya.

Antara pengisian program mobiliti ini adalah kunjungan akademik ke tempat-tempat penting di Jakarta seperti Asean Sekretariat, Parlimen Indonesia, Cibodas, Kota Tua Jakarta, dan Jogjakarta.
Lawatan ke tempat-tempat ini bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan pelajar dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi dan sosial. Misalnya, lawatan ke Parlimen Indonesia, pelajar dapat mengetahui cara dalam Parlimen Indonesia bersidang di dewan rakyat dan mengetahui tentang peraturan semasa bersidang.
Selain lawatan, pelajar juga melibatkan diri dengan program kemasyarakatan iaitu aktivitibersama Santri Binaan Pimpinan Cabang Aisyiyah Cipayung dan LKSA Cemara Cipayung. Di rumah Aisyiyah Cipayung ini, pelajar melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti memberi cenderhati kepada anak yatim dan bermain permainan Simon Says yang banyak diguna pakai dalam bilik darjah pada hari ini khususnya dalam pembelajaran untuk umur antara 4 hingga 6 tahun untuk memperkuat dan menambah penggunaan kosa kata.

Namun, permainan Simon Says ini diubah menjadi Upin Ipin Bilang agar dapat selari dengan minat kanak-kanak di Indonesia dan mengikut tahap pemahaman mereka. Secara tidak langsung, pelajar juga dapat mendekatkan diri dengan komuniti masyarakat.
Turut diadakan Malam Kebudayaaan oleh UHAMKA dan juga UUM bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua universiti, sekali gus mempelajari budaya tradisi antara dua negara serumpun itu.