UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

300 staf UUM ikuti syarahan era media baru

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

SINTOK: Lebih 300 staf dan pelajar mendengar syarahan mengenai Era Media Baru yang membincangkan tajuk Pendidik atau Motivator bersama Pengarah Urusan IB Media Consultant Works Sdn. Bhd. Dato’ Izelan Basar di Dewan Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) anjuran Jabatan Pendaftar pagi tadi.

Pengamal Media Penyiaran terkemuka dan berpengalaman di rantau Asia yang telah berkecimpung dalam industri media penyiaran semenjak 1988 ini berkata, perubahan perlu dibuat memandangkan generasi Z dan selepas Covid-19 ini sama ada di peringkat sekolah menengah, kolej atau universiti sedang membesar dan menuju ke alam kerjaya dan kepemimpinan masa hadapan.

“Mereka ini lahir bersama zaman perkembangan teknologi, mereka memiliki ciri-ciri yang berbeza dengan generasi sebelumnya yang urusan hidup mereka bergantung kepada alam fizikal” ujarnya lagi.

Oleh itu, generasi ini sangat pantas dan cekap menggunakan peralatan digital serta tidak terpesona dengan kecanggihan internet seperti generasi sebelumnya kerana mereka lahir selepas internet serta peralatan digital yang canggih.

Dato’ Izelan Basar di Dewan Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) Universiti Utara Malaysia (UUM) anjuran Jabatan Pendaftar pagi tadi. – Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today.

Maka dengan era kecanggihan dan kepantasan maklumat ini mereka tergolong dalam golongan yang sangat tidak sabar kerana mereka mahukan hasil yang segera, cepat dan tindakan yang pantas.

Antara kelebihan dimiliki generasi ini juga ialah mereka suka beraktiviti dan boleh melakukan beberapa tugasan pada satu masa dan menjana pendapatan sendiri menggunakan media baru ini.

Kemungkinan dengan teknlogi media baru ini mungkin mereka mampu membuat tugasan atau mengikuti kuliah yang diberikan oleh pensyarah sambil menonton video atau berinteraksi dengan rakan melalui media.

Izlan menambah dengan pengalaman pembelajaran secara online sebelum ini akibat Covid-19 memungkinkan mereka merasakan pembelajaran secara atas talian lebih baik kerana tidak memerlukan perbelanjaan yang besar malah mendatangkan keuntungan dengan penglibatan mereka dengan penjanaan pendapatan melalui media baru ini.

“Saya bimbang dengan senario ini kerana mungkin akan menyebabkan mereka tidak berminat untuk menyambung pengajian kerana keuntungan dengan teknologi media baru ini dilihat tidak memerlukan sebarang ijazah, sarjana dan sebagainya,” ujar beliau yang pernah terlibat secara langsung diperingkat awal perancangan penubuhan TV AlHijrah sebagai Perunding bagi pihak Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof.  Dr. Russayani Ismail ketika ditemui berkata, syarahan ini memberi manfaat terutama kepada semua pemegang jawatan dalam kalangan dekan, pentadbir atau pensyarah di mana intipati berkaitan bagaimana berhadapan dengan generasi pelajar sekarang ini.

Oleh itu, pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran juga perlu dilakukan seiring dengan perkembangan semasa.

Katanya, Generasi Z perlu dididik supaya bersikap optimis dan perlu diterapkan dengan keimanan kukuh secara berjemaah kerana dunia tanpa sempadan adalah cabaran besar buat mereka manakala gajet umpama pisau yang boleh menjadi aset berguna atau sebaliknya kerana generasi ini pantas melayari maklumat di serata dunia dan menerokanya tanpa perlu diajar.

Sesungguhnya ciri-ciri yang dimiliki generasi Z ini menimbulkan cabaran untuk mendidik mereka. Ibu bapa dan guru yang bertanggungjawab mendidik mereka tidak mudah untuk menggalas tugas itu.

“Kita juga perlu bijak mengimbangkan keperluan mereka dan bertindak menolak permintaan mereka dengan hujah dan alasan yang relevan bagi mengelakan mereka menunjukkan tidak puas hati melalui media sosial,” ujar beliau lagi.

Kesimpulannya, suka atau tidak, inilah perubahan zaman. Generasi ini akan menjadi pemimpin yang penuh dengan cabaran teknologi dan digital. Oleh itu, generasi ini perlu dididik dengan cara berbeza dan agak unik. Jika generasi Z dibentuk dengan acuan betul, mereka boleh mencapai kejayaan lebih cemerlang daripada generasi terdahulu serta dapat membangun negara dengan pesat.