UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

3,268 pelajar praktikum lapor diri di organisasi

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Unit Praktikum, Jabatan Hal Ehwal Akademik, UUM

SINTOK: Seramai 3,268 pelajar praktikum sesi A222 Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melapor diri di organisasi sejak 3 April lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 2,185 pelajar adalah dari UUM COB, 604 pelajar dari UUM CAS dan 479 pelajar lagi dari UUM COLGIS.

Penolong Pengarah, Unit Praktikum, Jabatan Hal Ehwal Akademik (JHEA), Sakinah Sabudin berkata, 55 peratus pelajar berjaya menempatkan diri organisasi swasta, 18 peratus di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan multinasional, organisasi kerajaan (15 peratus), badan berkanun (10 peratus) dan masing-masing 1 peratus di organisasi luar negara serta badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, penempatan pelajar praktikum pada semester ini berdepan dengan sedikit cabaran apabila pelajar perlu bersaing mendapatkan penempatan kerana terdapat beberapa universiti menetapkan tempoh praktikum mereka lebih awal iaitu pada Mac 2023.

“Kebanyakan organisasi lebih memilih pelajar yang menjalani praktikum pada Mac. Namun begitu, pelajar UUM dapat mengatasi saingan tersebut apabila berjaya menonjolkan diri semasa sesi temuduga bersama organisasi, di samping kecemerlangan universiti dalam jaringan industri dan hubungan kerjasama universiti dan industri,” ujarnya.

Pelajar praktikum, Yusnizam Roslan dari program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) berkata, dia bertuah kerana diterima menjalani praktikum di Pengerang Independent Terminal.

“Syarikat tersebut merupakan pilihan pertama saya semasa memohon penempatan praktikum. Apabila mendapat surat tawaran menjalani praktikum di syarikat tersebut, saya sangat bersyukur dan gembira.

“Tambahan pula, operasi dan latar belakang syarikat tersebut sangat bersesuaian dengan program pengajian sekarang. Saya harap dapat mendalami pelbagai ilmu, pengalaman dan kemahiran di sini,” katanya.

Sementara itu, Arrisya Mohd Noor Rashid dari program Sarjana Muda Pemasaran pula berkata, peluang menjalani praktikum bersama Syarikat Nestle Product Sdn. Bhd.  adalah peluang yang sangat ditunggu- tunggu.

Menurutnya, peluang itu akan digunakan sebaiknya bagi menimba pengalaman yang boleh membantu meningkatkan lagi kecemerlangan masa depan kerjayanya.