UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

35 pegawai penjara tamat program SEIP

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Seramai 35 pegawai Jabatan Penjara Malaysia (JPM) terima Sijil Eksekutif Intervensi Parol (SEIP) yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan di EDC UUM, pagi tadi.

Program SEIP adalah program yang dirancang secara khusus melalui kerjasama Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) dengan JPM, khususnya melalui Jabatan Parol dan Perkhidmatan Komuniti.

Dr. Mohd Foad berkata, SAPSP memiliki kepakaran dalam bidang seperti kaunseling, koreksional dan kerja sosial.

Menurutnya, bidang-bidang ini sangat rapat dengan pengurusan isu-isu manusia, yang setiap masa dihadapi oleh banduan khasnya banduan yang diparol.

“Saya yakin dan percaya bahawa program SEIP yang telah berjalan selama 3 bulan ini mencapai objektif dan memberikan manfaat dalam membentuk pegawai parol yang efisien serta peserta juga telah dibekalkan dengan pelbagai kemahiran asas kaunseling dan koreksional yang amat berguna kepada semua,” katanya di Majlis Mini Konvokesyen Sijil Eksekutif Intervensi Parol 2023.

Sementara itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) JPM, Dato’ Ibrisam Abdul Rahman mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Uniutama Education and Consultancy Sdn Bhd (UECSB) dan juga UUM atas sokongan dan usaha yang berterusan bagi melaksanakan kursus tersebut.

Kata beliau, program berkenaan merupakan persediaan dalam meningkatkan kemahiran pegawai parol daerah dalam beberapa bidang kemahiran berdasarkan Modul Penilaian Perkembangan Kendiri, Modul Pengenalan Peralihan Komuniti dan Modul Penyeliaan dalam peralihan.

Salah seorang graduan, Mohamad Azizul, Penolong Penguasa Penjara, Pegawai Parol Daerah Pendang berkata, dengan mengikuti program SEIP ini, banyak pengalaman dan ilmu yang berguna dapat diaplikasikan dalam tugasan di tempat kerja.

“Antara manfaat yang saya dapat dari program ini adalah seperti ilmu untuk menjalankan intervensi dengan banduan serta kaedah pendekatan secara kaunseling dengan mereka”, katanya yang juga salah seorang penerima anugerah terbaik.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti JPM, Zawari Abdul Rashid; Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar dan Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)