Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today
SINTOK: Detik bersejarah menyaksikan 35 pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pelbagai pangkat berjaya menerima Ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) pada sesi kedua, Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Mereka terdiri daripada Timbalan Penguasa Polis (DSP), Penolong Penguasa Polis (ASP), dan Inspektor Polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah, Surirani Ali berkata, kejayaan ini adalah hasil daripada program yang dirancang dan dilancarkan melalui kerjasama strategik di antara Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis (IPK) sejak tahun 2020.
Pegawai yang bergraduasi pada kali ini adalah mereka yang menyertai Program Khas Sarjana Sains (Pengajian Strategik) – IPK Perlis yang ditawarkan pada September 2020 secara separuh masa.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, Surirani berkata, kemajuan akademik mampu memberi impak positif dan merupakan satu nilai tambah yang penting dalam kemajuan kerjaya sebagai pegawai PDRM.

“Alhamdulillah, kesungguhan dan semangat juang tinggi para pegawai telah dizahirkan pada majlis konvokesyen hari ini, saya amat berterima kasih di atas kerjasama antara pucuk pimpinan PDRM terutamanya Ketua Polis Perlis, Dato Surina Saad, pegawai atasan dan rakan setugas serta tidak dilupakan penghargaan buat suami dan anak-anak yang sentiasa memahami dan menyokong perjuangan sepanjang tempoh pengajian ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kekangan tugas dan pelbagai cabaran lain termasuk pandemik Covid-19 yang melanda dunia sama sekali tidak mematahkan semangat pegawai untuk menamatkan pengajian mengikut perancangan yang ditetapkan.
“Menariknya belajar di UUM, saya menyukai pendekatan pensyarah yang sangat membantu, mesra, terbuka dalam sesi pelajaran dan sentiasa memberi tunjuk ajar tanpa mengira waktu walaupun berada di luar kawasan malah staf di UUM juga sangat membantu dalam urusan pentadbiran pengajian,” luahnya.
Akuinya, cabaran paling utama adalah pembahagian masa memandangkan tugas dalam bidang keselamatan amat memerlukan pembahagian masa yang teliti apatah lagi kerja semasa Covid-19 menguji kesabaran dan kekuatan.

“Semasa PKP tidak dapat dinafikan apabila penugasan pentadbiran terpaksa dipikul kerana ramai kerani bertugas dari rumah sedikit sebanyak membantutkan pentadbiran di pejabat. Apatah lagi tenaga yang perlu digandakan apabila terdapat pegawai dan anggota yang disahkan positif Covid-19 dan terpaksa dikuarantin. Namun, atas semangat setia kawan (esprit de corp), cabaran Covid-19 berjaya ditangani bersama.
“Saya harap semua pegawai PDRM mengambil peluang yang diberikan dalam usaha meningkatkan kemajuan akademik yang bukan sahaja demi kemajuan diri, tetapi juga kemajuan pasukan itu sendiri. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” luahnya yang menyertai pasukan PDRM sejak 25 tahun lalu.
Besarlah harapannya agar pegawai polis wanita terus menggapai kejayaan dan menjawat jawatan yang tinggi dalam pasukan kerana wanita pada masa kini mampu memikul tanggungjawab yang lebih besar jika diberi peluang.
Sementara itu, Pegawai Turus Gerakan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, ASP Mohamad Firdaus Ishak melanjutkan pelajaran secara PJJ sambil menjalankan tugas sebagai Pegawai Kanan Polis.

“Konvokesyen ini merupakan satu impian dalam hidup agar menjadi contoh kepada anak-anak dan adik-adik saya yang masih belajar supaya mereka juga bersemangat mengikut jejak ke menara gading.
“Bagi pegawai polis dan anggota di luar sana, jangan berhenti belajar untuk menambah ilmu, pengalaman serta kemajuan dalam kerjaya. Pencapaian dalam akademik bukan sekadar menerima segulung ijazah tetapi juga mengubah cara berfikir dan menjadikan kita lebih teliti dalam mengolah sesuatu isu dan krisis yang penting dalam menjalankan tugas dan membuat keputusan,” ujarnya yang telah berkhidmat selama 11 tahun.
Beliau berhasrat melihat lebih ramai lagi anggota dan pegawai yang melanjutkan pengajian dalam program kerjasama SOIS – PDRM. Kejayaan ini juga membuktikan peri pentingnya kerjasama strategik di antara pihak universiti khasnya dan UUM umumnya dengan pihak industri bagi menjayakan usaha agenda pembelajaran sepanjang hayat dan merakyatkan universiti.