BALING: Sebanyak 37 keluarga melibatkan 130 mangsa banjir masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 7 pagi ini berikutan hujan lebat berterusan semalam.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, dua pusat pemindahan dibuka yang menempatkan 96 mangsa daripada 31 keluarga di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, manakala 34 mangsa lain daripada enam keluarga berada di PPS Dewan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus, Kupang.
Katanya, penduduk diarahkan berpindah selepas rumah mereka dinaiki air sehingga mencecah satu meter berikutan air Sungai Kupang melimpah dengan cepat.

“Bimbang sekiranya ada yang terperangkap, jadi kami meminta manga terlibat untuk berpindah ke PPS mulai jam 9 malam apabila keadaan rumah mereka tidak selamat berikutan air semakin naik.
“Ini kali ketiga mangsa terjejas dengan banjir kilat yang tinggal berdekatan Sungai Kupang berpindah ke PPS,” katanya.
Banjir kilat yang melanda kira-kira jam 5 petang itu membabitkan penduduk di Taman Bayu Sejahtera, Kampung Sungai Batu, Kampung Iboi, Padang Empang, Hangus, Bendang Bechah, Tok Saba, Masjid Iboi, Lata Chelak, Bok Bak dan Tanjung Nering.