UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

3,879 pelajar baharu UUM ikuti 48 program pengajian

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Unit Fotografi dan Media/UUM Today

SINTOK: Hari ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 3,879 pelajar baharu terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2023/2024.

Daripada jumlah itu, 3,773 orang adalah pelajar tempatan yang merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 106 lagi adalah pelajar antarabangsa.

Dr. Mohd Foad.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pelajar tempatan yang mendaftar pada hari ini adalah dari ambilan UPU seramai 3,556 dan lepasan Asasi Pengurusan UUM seramai 217 orang.

Bagi 106 pelajar antarabangsa pula, menurutnya, UUM menerima kemasukan 55 pelajar peringkat Sarjana Muda dari Indonesia (46), China (2), Nigeria (2), Thailand (2) dan masing-masing satu (1) bagi Somalia, Yeman dan Libya, manakala 51 lagi adalah pelajar mobiliti dari Indonesia (27), China (23) dan Jepun (1).

“Program Sarjana Muda Perakaunan menerima kemasukan terbesar seramai 283 pelajar, diikuti Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (209) dan Sarjana Muda Sains Ekonomi (188).

“Program Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) masih mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) kemasukan 4.00 bagi lepasan STPM/Matrikulasi,” katanya.

Seperti tahun sebelum ini, UUM turut menawarkan tempat kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dari pelbagai kategori seramai 12 orang, pelajar Orang Asli (7) dan lima pasangan kembar yang masing-masing mengikuti program pengajian Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Pengurusan Acara, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Muda Kaunseling.

Dr. Mohd Foad beramah mesra dengan lima pasangan kembar yang mendaftar di UUM, hari ini.

Kedatangan kesemua pelajar yang mendaftar bermula pagi ini telah disambut Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Bendahari dan Pendaftar yang seawal pagi menanti di pintu masuk utama kampus.

Memeriahkan lagi sambutan di tiga pintu masuk kampus adalah kemunculan maskot bersama staf dan pelajar yang segak berbusana tradisional.

Kedatangan pelajar baru dismabut meriah oleh warga UUM yang berbusana tradisional.

Untuk rekod, sehingga 8 Oktober 2023, jumlah pelajar UUM adalah seramai 31,454 orang iaitu 25,923 bagi peringkat pengajian sarjana muda dan 5,531 bagi pascasiswazah.