UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

40 tahun UUM: Kisah Pak Abu bernombor staf 006

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

JITRA, 5 Februari – Meniti usia Universiti Utara Malaysia (UUM) 40 tahun pada Februari 2024 ini, kita tertanya-tanya siapakah di antara pelopor awal penubuhan UUM seawal 1984 ketika itu.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dalam ucapan Amanat Tahun Baru pada 30 Januari lalu telah memberi penghargaan tertinggi kepada perintis dan peneroka pembangunan UUM di Tanah Merah yang berjumlah 490 orang yang kebanyakannya sudah bersara atau sudah meninggal dunia.

Dr. Mohd Foad ketika menyampaikan amanat beliau telah memberi penghargaan kepada perintis dan peneroka pembangunan UUM. Hairul Nizam Zahari/UUM Today

Nombor staf UUM bermula dengan 001 diterima oleh Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh, diikuti Zainal Adnan Yang Yahya (002), A. Azizi A. Wahab (003), Zainol Abidin Mohamed (004) dan Dato’ Latifah Hassan (005).

Kesemua mereka sudah meninggalkan kita.

Nombor staf seterusnya ialah 006 dimiliki oleh Dato’ Abu Seman Awang yang orangnya terus segak dan kacak seolah-olah masa segan untuk mengubah usianya.

Jabatan Komunikasi Korporat, UUM, baru-baru ini telah menemu bual beliau di rumahnya di Jitra, Kedah.

Membuka lembaran kisahnya, Dato’ Abu Seman atau lebih dikenali sebagai Pak Abu dilahirkan di Ayer Hitam, Kedah mula berkhidmat di UUM sebagai Penolong Pendaftar pada Mei 1984 sehingga 2005 sebelum dipinjamkan ke Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai ketua pengarah sehingga 2007 dan kembali semula ke UUM sebagai pensyarah pada 2008 sehingga 2020.

Pak Abu yang kini berusia 73 tahun mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam dan bersekolah menengah di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya.

Dato’ Abu Seman Awang antara pelopor awal UUM pada 1984. Hairul Nizam Zahari/UUM Today

Pak Abu berkata, sepanjang berada di UUM, beliau pernah ditugaskan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) selama 14 tahun, selain Timbalan Pendaftar di Jabatan Canselori dan Timbalan Pendaftar di Jabatan Pendaftar (kini Jabatan Sumber Manusia) sebelum dipinjamkan ke KEMAS.

“Sebelum saya berkhidmat di UUM secara rasmi, saya dipanggil oleh Dr. Awang Had di Bangunan UMNO untuk mengatur rancang operasi UUM. Ketika itu saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar sebelum masuk ke UUM.

“Apabila kampus bermula, saya tinggal di Taman Siswa selaku Penolong Pendaftar Kanan HEP dan juga Pengetua di Taman Siswa dengan pelajar sulung seramai 336 orang ketika itu,” katanya yang sehingga kini masih berhubung dengan sebahagian pelajar tersebut.

Istimewanya UUM di mata Pak Abu, berbanding universiti lain yang bermula dengan ‘menumpang’, UUM mempunyai kampus asal sendiri di Kampus Darulaman, Jitra.

Mengenang kisah suka duka di UUM, Pak Abu menyifatkan semua itu adalah asam garam bekerja, malah beliau cukup ‘enjoy’ apabila diamanahkan di JHEP.

Menurutnya, walaupun UUM diterajui oleh ramai peneraju atau naib canselor yang mempunyai gaya kepimpinan atau kekuatan tersendiri, sebagai pentadbir hanya perlu laksanakan apa yang diamanahkan.

“Untuk ‘enjoy’ di mana-mana pun lebih-lebih lagi di JHEP, ramuannya adalah menjiwai pelajar iaitu merasai apa yang pelajar itu rasa kerana mahasiswa memerlukan kita.

“UUM ini mesti mencukupi dengan komponen-komponennya iaitu pelajar, pegawai tadbir dan akademik.

Timbalan Pengarah (Media dan Pemasaran), JKK, Bakhari Che Mohamed Ariff (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dato’ Abu Seman Awang. Hairul Nizam Zahari/UUM Today

“Jika dirangkumkan, inilah kekuatan kepada kita dan tidak sepatutnya ada pihak yang rasa dia lebih hebat daripada orang lain sebab fokus kita adalah pembangunan pelajar,” katanya.

Dato’ Abu Seman berkata, konsep itu tidak pernah berubah, namun pendekatan memenuhi konsep pasti berubah mengikut arus semasa kerana tiada apa yang kekal kecuali perubahan.

“Falsafah saya mudah, cintai kerja dan jagalah integriti. Kerja jangan main-main, main jangan main-main,” katanya.

Beliau berharap sempena 40 tahun ini, UUM akan terus menuju kecemerlangan sebagai universiti pengurusan terkemuka dan gah di persada antarabangsa.