UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

4,067 pelajar baharu bergelar mahasiswa UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

SINTOK: Seramai 4,067 pelajar baharu bagi sesi 2022/2023 mula mendaftar di universiti ini secara fizikal sepenuhnya bermula hari ini, sekali gus memulakan kehidupan baru sebagai mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mereka terdiri daripada calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar antarabangsa yang akan mengikuti 47 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Sarjana Muda.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,960 pelajar merupakan warganegara, manakala 205 lagi adalah pelajar antarabangsa yang terdiri daripada 2,995 pelajar perempuan dan selebihnya iaitu 1,072 adalah pelajar lelaki.

Pada kemasukan kali ini, menurutnya, 2,236 pelajar baharu bersamaan 59.49 peratus merupakan pelajar daripada golongan B40.

Haim Hilman (tengah) ketika sidang media sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 2022/2023 di INASIS Petronas, pagi tadi. Shamsaimi ezil/UUM Today

“Di samping itu, kita juga menawarkan tempat kepada 205 pelajar antarabangsa dari lapan negara yang telah menunjukkan peningkatan kemasukan sebanyak 13.97 peratus berbanding kemasukan tahun lalu iaitu 93 pelajar.

“Ini secara tidak langsung menunjukkan agenda pengantarabangsaan menerusi Pelan Strategik Fasa 1 telah berjaya termasuk dalam aspek penyenaraian UUM dalam ranking dunia mahupun Asia,” katanya pada sidang media sempena Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 2022/2023 di Student Lounge Inapan Siswa Petronas, pagi ini.

Seorang waris mengangkat kotak mengandungi barangan makanan ketika pendaftaran kemasukan pelajar baharu, hari ini. Shamsaimi Ezil/UUM Today

Tambah beliau, daripada jumlah pelajar antarabangsa itu pula, 134 pelajar mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda, 35 pelajar mobiliti dan 36 pelajar dari UMP, Indonesia mengambil ijazah berkembar.

Bagi tawaran program pengajian, Haim Hilman berkata, tiga program pengajian menerima kemasukan teramai iaitu Sarjana Muda Perakaunan (272), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (270) dan Sarjana Muda Sains Ekonomi (260).

Manakala tiga program yang mencatatkan Purata Markah Keseluruhan (PMK) kemasukan tertinggi 4.00 ialah Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat).

Seorang pelajar dibantu ibunya membersihkan langsir selepas mendaftar masuk ke inapan siswa. Shamsaimi Ezil/UUM Today

PMK kemasukan calon pada tahun ini adalah sebanyak 3.56.

Tidak dipinggirkan dalam arus pendidikan, UUM turut menerima kemasukan 10 pelajar orang kurang upaya (OKU) dan lapan pelajar Orang Asli dari dari Pahang (4), Perak (3) dan Negeri Sembilan (1).

Haim Hilman berkata, pihak universiti akan memastikan kesemua pelajar tersebut akan menikmati kemudahan pembelajaran yang kondusif dan selesa agar mereka dapat meneruskan pengajian di UUM sama seperti pelajar lain.

Sehingga Oktober 2022, jumlah keseluruhan pelajar UUM adalah seramai 33,658 orang iaitu 27,732 bagi peringkat pengajian sarjana muda dan 5,926 bagi pascasiswazah.