Gambar: Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya/UUM Today
BANGI: Seramai 43 padawan Maybank Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menamatkan Bengkel Padawan Maybank yang diadakan selama tiga hari bermula 16b Oktober lalu di Akademi Maybank sebelum diraikan dalam Majlis Graduasi Padawan Maybank, baru-baru ini.
Penyertaan pelajar UUM ini adalah sebahagian daripada program School of Hard Knocks (SoHK) yang telah diwujudkan oleh Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya (PKPK) UUM secara dasarnya bagi menjalin kerjasama aktif dengan industri, selain membuka ruang dan peluang pendedahan terbaik kepada pelajar UUM sebelum pelajar melangkah ke fasa praktikum yang merupakan salah satu syarat bergraduat.

Idea bagi memperkenalkan program SoHK juga bertujuan memastikan peluang penempatan praktikum kepada para pelajar UUM terjamin, selain meningkatkan kadar kebolehpasaran pelajar dengan peluang yang cerah terhadap kerjaya selepas bergraduat.
Executive Vice President, Head of Talent Attraction and Workplace Futurisation Maybank, Sophia Ang Wui Jiun mengucapkan tahniah kepada padawan Maybank kerana telah berjaya menamatkan program bersama Maybank yang telah dijalankan selama satu semester.
Menurutnya, pelajar UUM yang terlibat memberikan komitmen yang sangat baik sepanjang program berlangsung.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya, Dr. Fikriyah Abdullah berharap semoga dengan program SoHK ini dapat membantu pelajar untuk memperoleh kemahiran-kemahiran kerjaya yang spesifik daripada pakar dan profesional berlainan industri.
Di samping itu, ujarnya, pelajar juga dapat meningkatkan peluang kerjaya bersama industri luar.
Pelajar dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Iqmal Hakim Rosli berkata, dia bersyukur kerana dapat menyertai program tersebut dan berterima kasih kepada PKPK dan Maybank yang memberi peluang kepadanya untuk menyertai program seperti itu. – Anis Zulaikha Kamal