ALOR SETAR: Seramai 547 penumpang serta kru feri dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas di beting lumpur berdekatan jeti penumpang Kuala Kedah, dekat sini, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan daripada MERS pada jam 4.55 petang.
Sepasukan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dengan dua pegawai dan enam anggota telah dikejarkan untuk kerja-kerja menyelamat.
Setakat pukul 5.45 petang, feri tersebut masih lagi tersadai di beting lumpur tersebut.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya masih menanti laporan bertulis daripada kapten Feri Bahagia 98 yang terkandas itu.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku ketika air laut berada pada paras 1.7 meter iaitu paras yang masih selamat untuk pelayaran.
“Pihak kami masih menunggu laporan lanjut mengenai kejadian itu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Laut dan nelayan tempatan sedang memantau dan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Difahamkan, proses menarik feri keluar dari beting lumpur sedang dijalankan termasuk menggunakan bot nelayan.