UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

59 kakitangan universiti ditahan SPRM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

GOMBAK: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 59 kakitangan universiti awam dan swasta atas pelbagai kesalahan sehingga Ogos lalu.

Antara kesalahan dilakukan adalah rasuah, salah guna kuasa dan tuntutan palsu sejak 2017.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, daripada jumlah itu, 55 adalah kakitangan universiti awam, manakala empat lagi kakitangan universiti swasta dengan 48 daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

Datuk Seri Norazlan Mohd Razali. Gambar Google

Menurutnya, jumlah wang yang terbabit dalam jenayah itu ialah sebanyak RM1.32 juta di mana RM1.311 juta membabitkan kakitangan universiti awam, manakala selebihnya adalah universiti swasta.

Baru-baru ini terdapat satu kes melibatkan seorang pengarah universiti awam ditangkap SPRM kerana menerima kereta sebagai dorongan untuk membantu syarikat mendapatkan tender bernilai kira-kira RM1.6 juta.

Pada Julai lalu juga, seorang profesor universiti turut ditahan SPRM di atas dakwaan tuntutan palsu membabitkan dana penyelidikan berjumlah RM66,000.

Rasuah memberi implikasi serius kepada reputasi sesebuh organisasi. Gambar hiasan

Norazlan berkata demikian ketika menjadi tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Pelan Rangka Kerja Anti Rasuah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), semalam.

Tambah beliau, kegiatan penyelewengan termasuk rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan, salah urus kewangan dan penipuan akreditasi memberikan implikasi serius kepada reputasi institusi intelek itu.

“Ia memusnahkan nilai teras kejujuran yang cuba diterapkan dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi. Natijahnya akan wujud masyarakat intelek baru yang tidak lagi berpegang kepada nilai kejujuran, seterusnya akan membawa kepada bencana sosio-ekonomi sesebuah negara,” ujarnya.