UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

600 tuala wanita percuma di Sanitary Pad Bank PSB atasi cabaran kebersihan wanita

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Inisiatif Sanitary Pad Bank oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) terus diperluaskan ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Pelancaran UUM Sanitary Pad Bank telah disempurnakan Penolong Ketua Pustakawan, Norma Said yang mewakili Ketua Pustakawan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Norma (enam, kanan) ketika melancarkan Sanitary Pad Bank di Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Projek tersebut merupakan cetusan idea Setiausaha Pentadbiran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Khausalya A/P Chandran yang bermula di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) pada Julai lalu.

Norma berkata, Sanitary Pad Bank ini merupakan satu usaha murni khususnya bagi membantu golongan wanita di UUM mengatasi cabaran kebersihan dan kewangan semasa kitaran haid mereka.

Menurutnya, ianya adalah satu langkah yang progresif dan bererti untuk memastikan keperluan kesihatan wanita dalam kalangan mahasiswa wanita UUM dijaga dengan sewajarnya.

Tuala wanita diletakkan berhampiran tandas wanita di PSB.

“Dengan adanya Sanitary Pad Bank, pelajar UUM boleh mengakses tuala wanita secara percuma berdasarkan keperluan mereka pada bila-bila masa.

“Saya berharap inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada universiti dan institusi lain untuk melaksanakan program serupa yang dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Khausalya berkata, objektif program ini adalah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, meningkatkan kesejahteraan pelajar dan menggalakkan kesaksamaan jantina dalam kalangan komuniti akademik.

Menurutnya, sebanyak 600 keping tuala wanita akan disediakan berdekatan tandas PSB agar memudahkan akses kepada pelajar wanita yang memerlukan dalam keadaan kecemasan.

“Dengan adanya Sanitary Pad Bank, pelajar boleh mendapatkan tuala wanita ini secara percuma mengikut keperluan pada bila-bila masa. Ini bukti bahawa kami memahami keperluan pelajar wanita,” katanya.