Gambar Pusat Islam/UUM Today
SINTOK: Seramai 75 pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Kemunting, Jitra telah menyertai Program Amali Haji dan Umrah anjuran Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia, baru-baru ini.
Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, matlamat program ini adalah untuk memberi pendedahan secara praktikal tentang ibadat haji dan umrah, di samping menyemai minat dan cita-cita menunaikan rukun Islam yang kelima kepada pelajar.
Menurutnya, program seperti ini sewajarnya diajar sejak di peringkat sekolah lagi agar mereka dapat menghayati dengan sepenuh jiwa tentang kemuncak rukun Islam ini.

“Pelajar perlu diberi pengalaman belajar sebagai langkah awal untuk melaksanakan tuntutan haji dan umrah,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelaras Panitia Pendidikan Islam merangkap guru pengiring dari SMK Paya Kemunting, Mohd Rizal Ahmad berkata, peserta begitu seronok melakukan simulasi ibadah ini secara praktikal, berbanding belajar secara teori semata-mata di bilik darjah.
Kata beliau, program ini secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk lebih memahami tentang haji dan umrah, seterusnya memudahkan mereka dalam urusan menjawab soalan peperiksaan berkaitan rukun Islam ini.

Peserta, Siti Nor Alya Yusof berkata, program ini dapat meningkatkan kefahaman dalam subjek Pengajian Islam khususnya yang dipelajari di Tingkatan Empat, seterusnya memudahkan mereka dalam urusan menjawab soalan peperiksaan.
“Sebelum ini dia hanya memperoleh maklumat berkaitan ibadah haji dengan membaca buku, menonton televisyen dan melayari internet sahaja.
“Apabila kita menyertai simulasi haji dna umrah ini, ia memberi pendedahan sebenar bagaimana umat Islam mengerjakan haji,” katanya.

Selesai taklimat haji dan umrah, pelajar bersiap sedia untuk melakukan amali umrah dan haji di mana mereka perlu melalui beberapa ‘check point’ serta memulakan dengan berniat ihram haji atau umrah, bacaan talbiah dan diakhiri dengan melakukan ibadat wajib tawaf dan sa’ie serta ibadat lain di Arafah, Muzdalifah dan Mina. – Rozita Mohd Rejab