UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

849 graduan UUM menjawat jawatan di Maybank

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Seramai 849 graduan atau alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menjawat jawatan di Maybank selepas menamatkan pengajian di universiti ini.

Dua daripada jumlah itu kini memegang jawatan di pengurusan tertinggi Maybank.

Hal ini dimaklumkan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Datuk Nora Abd Manaf pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UUM dan Maybank di Studio Pascasiswazah OYAGSB, hari ini.

Dalam majlis itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mewakili UUM, manakala Nora yang juga Profesor Adjung UUM mewakili Maybank.

Menurutnya, beliau berbangga untuk berkongsi bahawa kerjasama antara UUM dan Maybank untuk meningkatkan lagi kebolehan pelajar UUM dan merapatkan lagi jurang kemahiran yang diperlukan
antara akademia dan industri dalam beberapa inisiatif telah menunjukkan hasil yang berjaya.

“Perkembangan positif ini boleh dilihat dengan kejayaan mereka untuk menjawat jawatan tinggi di Maybank.

“Kisah-kisah ini membuktikan betapa besarnya manfaat kolaborasi kita ini untuk meningkatkan kualiti pelajar dan membentuk mereka untuk menjadi pemimpin industri dan negara yang seterusnya,” katanya.

Nora berkata, dua alumni UUM yang berada di pengurusan tertinggi Maybank itu ialah Azizul Kamarudin yang menjawat jawatan sebagai Ketua Pembiayaan Kenderaan dan Nandha Kumar Subramaniam sebagai Pengarah Program Strategik – Kelestarian.

Selain itu, graduan UUM lain yang turut cemerlang di Maybank ialah Nor Nabilah Natasha Mohamad Rafiene sebagai Penasihat Kewangan Peribadi dan Dalili Zulaikha Mohd Zahurin (Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia) yang menjadi pelatih dalam Jabatan Kapital Insan Kumpulan.