UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

95 hari tamatkan tiga Program Pensijilan Profesional UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Nordiana Shafiee
Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 4 Februari – Seramai 11 staf politeknik dan kolej komuniti menerima sijil profesional setelah 95 hari komited melaksanakan program tersebut di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM).

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah berjaya menamatkan program pensijilan profesional ini dengan jayanya bermula 5 November 2023 hingga hari ini.

Menurutnya, kesemua peserta telah menamatkan pengajian mereka dan menerima tiga sijil profesional iaitu Sijil ‘Chartered Institute of Logistics & Transport’ (CILT); Sijil Halal ‘Executive’ dan Sijil ‘Dangerous Goods Regulations’.

Katanya, program ini merupakan inisiatif dan kolaborasi strategik yang ditunjukkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysia Airports Berhad (MAB) dan CILT yang harus diperhebatkan lagi demi kebaikan semua.

“Ia juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahukan tenaga pengajar memiliki kemahiran tambahan industri yang dapat dikongsikan ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) nanti selain sijil profesional ini juga akan menjadi nilai tambah yang berguna bukan sahaja untuk diri malah juga kepada masyarakat, organisasi dan juga negara.

“Saya yakin program ini juga akan menjadi penyokong kepada Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dan Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 yang dilancarkan 4 Disember tahun lalu,” katanya di Majlis Penutup Program Pentauliahan Profesional Politeknik dan Kolej Komuniti 2024 di EDC UUM, hari ini.

Pengarah, Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya, mewakili Ketua Pengarah JPPKK, Ts. Zulkurnain Shahadan berkata, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada 11 penerima Sijil Profesional Teknologi Logistik dan Rantaian Bekalan.

Menurutnya, selama tiga bulan peserta berkampung di Sintok dan berbekalkan kecekalan yang tinggi dan semangat untuk terus memajukan diri dan juga membantu dalam pengajaran dan pembelajaran.

Seramai 11 peserta menerima sijil profesional yang disampaikan Naib Canselor dan turut menerima 13 pensyarah UUM dan CILT yang mendapat sijil penghargaan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh; Setiausaha Agung CILT Malaysia,Ts. Dr. Mohd Nasir Alias; Pengurus Malaysia Airports Berhad, Ikram Alif Mansoor dan pegawai-pegawai kanan universiti.