Gambar IPIZ/UUM Today
SINTOK: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM telah menganjurkan Program ‘A Day With National Zakat Foundation Worldwide (NZF) Australia’ sempena kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif National Zakat Foundation Worldwide Australia, Asif Mulla ke UUM, baru-baru ini.
Kunjungan Asif Mulla itu disambut oleh Pengarah IPIZ, Dr. Ahmad Khilmy Abdul Rahim di Anjung Tamu di mana beliau menerangkan tentang peranan IPIZ sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Universiti (UCoE) dalam mengurus penyelidikan, perundingan, program, latihan, dan inovasi zakat selaras dengan pelan dan dasar strategik universiti dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Turut diadakan perbincangan meja bulat yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail di Bilik Mesyuarat FWD, IBS pada pertemuan itu.

Fokus perbincangan telah menyentuh tentang kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan terutamanya berkaitan zakat yang melibatkan pembangunan asnaf masyarakat di Australia dan Malaysia.
Perbincangan dua hala itu disambut baik Asif Mulla menyambut cadangan kerjasama strategi dengan menjelaskan tujuan National Zakat Foundation Worldwide (Australia) ditubuhkan adalah untuk menguruskan dana zakat yang dikutip di Australia bagi manfaat penerima zakat yang berkelayakan.
Di samping itu, beliau mengajak semua pihak berusaha meningkatkan kesedaran berzakat yang menjadi perhatian kerjasama ini.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Pengarah RIMC, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat, pensyarah IBS dan staf pengurusan IPIZ serta IBS.

Sementara itu, Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Mohd Farihal Osman berkata, program yang dirancang ini membuka peluang besar kepada kerjasama penyelidikan merentasi dua negara iaitu Malaysia dan Australia.
Seramai 66 pelajar dari IBS telah mengikuti sesi ‘Knowledge Sharing- Development of Zakat in Australia: Point of View‘ yang memberi pendedahan tentang kepentingan dan peranan zakat kepada perkembangan pelajar menuntut ilmu dari golongan fakir miskin. – Azim Hasyimi Abdul Rahman