Gambar PERKOM, UUM
LOMBOK: Seramai 14 pelajar Sarjana Muda Komunikasi dari Pusat Pengajian Teknologi, Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) telah mengikuti ‘ASEAN Leadership Communication Mobility Programme’ (A-LEAD’23) selama enam hari pada 24 Februari lalu.
Pengarah Program A-LEAD’23, Haiman Syamil Hishamuddin berkata, program itu adalah sebagai sebahagian daripada pembangunan dunia dalam komunikasi serta mendedahkan pelajar komunikasi kepada pemahaman sosial dan revolusi industri yang berkaitan dengan aspek komunikasi kepimpinan, idea atau kemahiran lawatan yang diadakan.
Menurutnya, melalui pertukaran pelajar antarabangsa antara pelajar UUM dan Universitas Mataram (UNRAM) diharapkan dapat mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.
“Bukan itu sahaja, program ini juga dapat menjalankan pertukaran ilmu, kepakaran, seminar dan perbincangan penyelidikan antara pelajar dari SMMTC dan Prodi Studi Ilmu Komunikasi, Universitas Mataram serta meningkatkan kesedaran mengenai industri komunikasi yang dikaitkan dengan negara anggota ASEAN.

“Tambahan pula, program A-LEAD’23 ini julung kali diadakan di Indonesia dan kolaborasi bersama Himpunan Mahasiswa Ilmu Komunikasi (HIMIKOM), Universitas Mataram.
“Program yang bagus seperti ini seharusnya kita kekalkan dan sekiranya pelajar-pelajar dari UNRAM datang ke Malaysia, perkara yang sama juga akan dilakukan dengan memberi layanan 10 bintang sebagai tanda kami menghargai kedatangan anda semua,” katanya.
Antara pengisian A-LEAD’23 yang berjaya dilaksanakan adalah lawatan akademik Malaysia-Indonesia Comunity Projects Abroad (MICPA) ke Pesantren Haramain dan SMA 1 Narmada, perbincangan meja bulat (RTD) tentang Peranan Pempengaruh Media Sosial Terhadap Generasi Tekno-Sosial, lawatan industri ke RRI Mataram dan Lombok Post, program tanggungjawab sosial korporat MICPA di Tanjung Aan dan malam pertukaran budaya.

Program yang disertai pelajar Semester 3, 5 dan 7 itu diiringi Penasihat Persatuan Komunikasi (PERKOM) UUM, Dr. Zuwairi Mat Saad dan turut serta lima pelajar dari Universitas Mataram yang merupakan jawatankuasa HIMIKOM.
Sementara itu, peserta yang juga pelajar Semester 5, Syafie Miljan berkata, sepanjang enam hari di sana, pelbagai perkara baharu yang dipelajari terutamanya berkaitan dengan adat dan budaya masyarakat di Lombok.
“Kelima-lima sub program yang dijalankan juga sangat bermanfaat dan menyeronokkan. Setiap hari kami disajikan dengan pelbagai ilmu dan maklumat baru berkaitan sejarah, revolusi percetakan, kesusasteraan dan adat budaya masyarakat di sini,” katanya.