UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Ace of Math tingkat literasi Matematik

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Kulim: Dunia semakin canggih seiring perubahan zaman, murid-murid tidak lagi duduk mentelaah sahaja, sebaliknya dengan Ace of Math mereka semakin mahir Matematik dan boleh berinteraksi kerana bahagian terbesar permainan tersebut melibatkan elemen perbincangan, menganalisis maklumat dan membuat keputusan.

Inovasi ini membuahkan kejayaan Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR): Ace of Math di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai Kulim di bawah pimpinan Prof. Madya Dr. Hasimah Sapiri dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Jelasnya, Ace of Math merupakan sebahagian daripada program MEKAR yang bertujuan untuk membantu komuniti setempat dari segi pendidikan dan pembangunan ekonomi. Inisiatif ini mengiktiraf kepentingan kedua-dua aspek ini dalam mendorong pertumbuhan dan kemakmuran dalam komuniti.

“SQS dengan kerjasama Persatuan Pelajar Sains Kuantitatif (QUSAC) melibatkan 30 fasilitator SQS, guru serta 25 kumpulan pelajar Tingkatan 4 teruja dalam permainan Matematik yang penuh persaingan, mencabar dan menarik.

“Setiap ahli dalam kumpulan bersaing antara satu sama lain, mempamerkan kecekapan Matematik dan kemahiran menyelesaikan masalah,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pencipta Ace of Math, Dr. Shanizan Herman Mohd Radzi berkata, Ace of Math terhasil daripada inovasi dan kreativiti demi memupuk potensi dan memberi semangat baru kepada murid-murid untuk belajar Matematik sambil bermain secara interaktif.

“Setiap hari kita berdepan dengan pengiraan, malangnya murid-murid yang lemah dalam Matematik mengganggap ianya membosankan. Masalah yang berlaku sekarang, praktis dalam matapelajaran Matematik bukan secara semulajadi misalnya di sekolah cikgu memberi banyak latih tubi, namun murid-murid mudah bosan dan tergesa-gesa sehingga banyak kesalahan.

“Jadi, kami mencipta Ace of Math, suatu permainan kad yang menggunakan manipulasi bilangan dan persamaan Matematik seperti operasi tambah, tolak, darab dan bahagi untuk membina ungkapan Matematik bagi menyelesaikan masalah”.

Jelasnya, Ace of Math merupakan alat pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbentuk permainan kad yang menggabungkan pendidikan dan hiburan untuk memantapkan kemahiran asas Matematik secara aktif dan santai.

“Kita tahu Matematik adalah kemahiran, bila selalu praktis dengan main ‘game’, lama kelamaan murid-murid semakin cekap dalam meningkatkan pengukuhan asas operasi Matematik”.

“Adakalanya di depan guru, murid-murid berasa malu walaupun tahu jawapan tapi bila bermain dengan kawan-kawan mereka lebih santai, boleh perbetulkan kesilapan,” kongsinya.

Set ini mengandungi 106 kad merangkumi 45 kad objektif dan 61 kad pengoperasian untuk membina persamaan untuk menyelesaikan seberapa banyak objektif.

Permainan kad boleh dimainkan dari dua hingga empat pemain sesuai untuk murid-murid yang berusia 7 tahun ke atas melalui persekitaran yang menarik, suka bermain dan kompetitif dalam membantu pengukuhan kemahiran Matematik.

“Saya ingin membantu murid-murid yang lemah dalam Matematik, jadi permainan ini membolehkan pemain bersaing di antara satu sama lain untuk menjadi pemenang dan lebih bersemangat sekali gus bertambah minat terhadap Matematik dan melonjakkan prestasi,” ujarnya.

Sebagai tanda sokongan, SQS menyumbangkan 10 set Ace of Math kepada sekolah tersebut dalam usaha memperkukuhkan pendidikan Matematik di sekolah dan memberikan peluang pembelajaran interaktif yang berterusan.

Kerjasama antara warga universiti, pelajar dan guru menunjukkan dedikasi untuk meningkatkan kecemerlangan Matematik dan menanamkan cinta terhadap subjek tersebut.