UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Ada lagi ‘durian runtuh’ untuk penjawat awam 

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 tidak meninggalkan kebajikan penjawat awam yang akan menikmati ‘durian runtuh’ pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa penjawat awam akan menerima bantun dengan jumlah keseluruhan mencapai RM2,500 yang turut melibatkan Bonus Aidilfitri pada kadar RM600.

“Kerajaan bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion.

“Selain itu, kerajaan turut bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion,” kata beliau.

Pada masa sama, kerajaan akan mengurangkan kos pembiayaan bagi penjawat awam yang membeli komputer dan telefon pintar kepada dua peratus setahun, turun berbanding empat peratus ketika ini.

Manakala guru yang telah berkhidmat lebih 10 tahun layak mendapat cuti khas selama 15 hari, berbanding lima hari ketika ini dan ia dijangka memberi manfaat kepada 500,000 guru.

Sebagai membalas khidmat bakti kakitangan kerajaan, Perdana Menteri juga memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada Mac 2023.

Bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa Januari 2023 dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak RM2,500.