Gambar Awani
KUALA NERANG: Masih ada rupanya peniaga yang menjual kuih-muih pada harga 10 sen atau di sebelah utara ‘sekupang’ di bazar Ramadan tatkala ramai yang mengeluh dengan kenaikan harga barangan terutamanya makanan yang dijual di bazar pada Ramadan ini.
Bukan pertama kali menjual kuih-muih tersebut pada harga yang tidak masuk akal itu, sebaliknya peniaga, Roslina Saad, 54, telah meniaga makanan itu pada harga sama sejak 20 tahun lalu.
Menurut Roslina, dia menjual pada harga itu bagi memastikan golongan berpendapatan rendah terutama penduduk luar bandar mampu membeli kuih-muih dengan harga yang paling murah.

Katanya, walaupun kuih-muih yang dijual berharga 10 sen, namun, setiap biji, saiz dan kualitinya adalah sama seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Saya jual sekupang (10 sen), kalau harga begini, orang tidak berduit masih boleh makan. Contohnya, walaupun lima kupang (50 sen) dia sudah boleh dapat lima biji kuih.
“Apabila saya jual kuih dengan harga murah ini, saya dapat membantu penduduk setempat yang berpendapatan rendah agar mereka mampu beli kuih ini,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Lubuk Merbau, Padang Terap, di sini.
Sepanjang musim bulan puasa, gerai jualan Roslina menawarkan 5,000 biji pilihan jenis kuih termasuk buah melaka, karipap, onde-onde, lopeh dan ketayap setiap hari.
Kesemua jualannya itu lazimnya habis terjual dalam tempoh kurang dua jam khususnya pada hujung minggu.
Roslina berkata, dia selalu sediakan antara 14 ke 15 jenis kuih dengan kuantiti 450 hingga 700 biji.
Sementara itu, pembeli, Mohd Sobri Saad, 38, berkata, usaha Roslina mengekalkan harga kuih yang dijual itu sangat membantu keluarga yang berpendapatan rendah khususnya di kawasan sekitar yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.

Bagi surirumah, Dalilah Ali, 65, tindakan peniaga seperti Roslina menjual kuih-muih pada harga semurah 10 sen itu adalah usaha yang baik untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Dalilah pertama kali berkunjung ke gerai Roslina yang tular di media sosial kerana menjual kuih pada harga 10 sen selepas diajak oleh anaknya.
“Pertama kali datang sebab anak mahu tengok sendiri ‘viral’ cucur berharga 10 sen ini. Dia ajak ronda-ronda dan bila nampak gerai ini, memang betuk-betul murah lalu dibeli..memang boleh sangat dengan kos sara hidup sekarang ini, jadi bolehlah kalau kita nak makan buat juadah berbuka,” ujar Dalilah.