UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Adab jadi teras kepimpinan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK: Seorang pemimpin pelajar tidak cukup dengan hanya mempunyai pengetahuan akademik dan praktikal semata-mata tetapi mesti mempunyai adab yang baik.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar, menjadi seorang pemimpin haruslah menampilkan adab dan akhlak yang baik dan perlu dijaga, begitu juga ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPPUUM).

Menurutnya, setinggi mana ilmu yang dimiliki, seorang pemimpin perlu menjaga adabnya dengan menunjukkan perlakuan yang betul.

“MPPUUM yang dipilih harus jalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, selain memiliki kemahiran dan pengetahuan yang tinggi untuk menjadi seorang pemimpin.

Mohd Shukor mengingatkan pemimpin MPPUUM agar sentiasa memiliki adab yang baik. Mohd Fuad Hamid/UUM Today

“Tunaikan tanggungjawab dan amanah. Bagaimanapun, bukan semua masalah itu boleh diselesaikan sekelip mata, malahan mungkin ada yang akan mengambil masa. Begitu juga pihak pengurusan universiti, tidak semua perkara dapat dilaksanakan 100 peratus bergantung pada situasi dalam pelbagai aspek,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) Sesi 2022/2023 di Bilik Senat, petang tadi.

Di samping itu, bagi mendekatkan MPP dengan pengurusan universiti, Mohd Shukor turut mencadangkan agar wakil MPP dapat menyertai mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti bagi melaporkan setiap permasalahan yang berlaku.

Beliau berharap ahli MPPUUM dapat menjalankan tugas dengan baik dan amanah, malah pihak pengurusan akan memberi sokongan sepenuhnya.

Pada majlis tersebut, Mohd Shukor telah menyampaikan watikah pelantikan kepada 44 ahli MPPUUM dan menyaksikan penyerahan nota serah tugas Yang Dipertua MPP daripada Muhammad A’linur Ahlam Abu Bakar kepada Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman.

Penyerahan nota serah tugas YDP MPP daripada A’linur Ahlam (depan, kiri) kepada Izuan Faiz dengan disaksikan Mohd Shukor (belakang, tengah) pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPPUUM Sesi 2022/2023. Mohd Fuad Hamid/UUM Today

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, lebih 13,000 pelajar telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.63 peratus.

Menurutnya, usaha berpasukan yang kemas dan sistematik itu telah membawakan hasil memberangsangkan, di samping merasa syukur berkat kematangan, semua calon mengamalkan politik kampus dengan baik tanpa sebarang isu dan masalah. 

“Saya harap kejayaan ini bukan semata-mata mengejar populariti tetapi sebaliknya dijadikan sebagai satu amanah yang diiringi tanggungjawab besar. Tunaikan dengan dedikasi dan komitmen tinggi.

Shahimi mengajak MPPUUM membantu pihak pengurusan melonjak nama UUM ke persada lebih tinggi. Mohd Fuad Hamid/UUM Today

“Sebagai pemimpin juga, diharapkan setiap tindakan diambil tidak akan menjejaskan universiti. Bertindaklah secara rasional dan seimbang untuk pelajar dan UUM. Bantu universiti ini untuk mencapai status yang lebih tinggi bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat global kerana pelajar dan universiti berpisah tiada,” ujar beliau.

Yang Dipertua MPPUUM, Muhammad Izuan Faiz pula berkata, penyerahan watikah pelantikan itu bermakna tugas dan tanggungjawab mereka telah bermula sebagai medium saluran pelajar dan pengurusan UUM.

Tambahnya, tanggungjawab dipikul berat dalam memastikan isu dan perkara berkenaan kebajikan pelajar disalurkan dengan berkesan kepada pengurusan universiti.

Kata Izuan Faiz lagi, amanah diberi merupakan satu kepercayaan bukan beban, jadi mereka akan terus mengorak langkah untuk melaksanakan tugas dengan dedikasi serta meneruskan kecemerlangan kepimpinan sebelum ini.

“Jadi, MPPUUM memerlukan sokongan padu dari semua pihak untuk melaksanakan tugas dalam usaha mencari titik persamaan berkenaan kebajikan pelajar dan pada masa sama membantu UUM ke persada lebih tnggi.

Seramai 44 ahli MPPUUM Sesi 2022/2023 membaca lafaz ikrar. Mohd Fuad Hamid/UUM Today

“Dengan iltizam yang kukuh, segala aspirasi bakal direalisasikan dengan sokongan dan tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman amat diperlukan,” katanya.

Pemilihan yang diadakan pada 17 Januari lalu menyaksikan 44 calon telah menang bertanding di kerusi masing-masing di mana 10 calon umum dan 34 calon pusat pengajian.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Madya Dr. Mazni Omar dan Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam yang menjalankan tugas Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof serta pegawai-pegawai kanan universiti.