UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Adaptasi ilmu kaunseling boleh memanusiakan manusia

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 24 Januari – Adaptasi ilmu kaunseling adalah cubaan untuk memanusiakan individu dengan mendatangkan semula rasa hormat pada diri sendiri.

Profesor di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP). Prof. Dr. Noor Azniza Ishak berkata, adaptasi adalah bagaimana cara untuk memahami manusia.

Menurutnya, adaptasi ilmu kaunseling dalam komuniti menumpukan kepada penggunaan pendekatan teori dan kemahiran kaunseling dalam berinteraksi dengan komuniti bagi menghasilkan kesejahteraan psikososial.

“Manusia memerlukan seseorang untuk mendengar, memahami dan membantu mereka untuk menangani isu yang dihidapi dan inilah peranan seorang kaunselor dalam komuniti.

“Kaunseling itu sendiri adalah ‘healing process’ yang cuba diaplikasikan kepada rakan strategik iaitu membantu memanusiakan orang lain keluar dengan masyarakat,” katanya pada Syarahan Pengukuhan Profesor 2024 bertajuk Adaptasi Ilmu Kaunseling Dalam Komuniti: Ke Arah Pembudayaan Celik Psikologi Untuk Kesejahteraan Psikososial di Auditorium SoIS, pagi ini.

Dr. Noor Azniza berkata, pembudayaan celik psikologi dalam komuniti juga akan membantu komuniti untuk memahami diri sendiri dan memahami persekitaran agar dapat ditingkatkan kawalan emosi diri dan komuniti untuk kehidupan yang lebih sejahtera dan memberi kebaikan kepada orang lain.

Menurutnya, kaunseling komuniti pula adalah berbeza bagi orang yang berbeza. Kaunseling komuniti boleh dilaksanakan dalam membantu keluarga, individu, pasangan dan komuniti untuk mencegah masalah mereka dari merebak.

Katanya, kaunseling komuniti melibatkan kelompok yang berbeza seperti gelandangan, ibu bapa, mangsa konflik atau golongan muda mahupun dewasa.

“Kaunseling komuniti adalah bidang berkembang dengan peluang menarik serta profesion yang memberi perkhidmatan kepada semua kelompok masyarakat.

“Sebanyak enam bidang kaunseling yang telah diterokai iaitu ilmu kaunseling dalam komuniti, kesejahteraan psikososial dan corak pemakanan, kesejahteraan psikososial dan pemulihan, intervensi psikososial dan kesejahteraan komuniti, kesejahteraan psikososial dan keselamatan awam serta kesejahteraan psikososial dan penyalahgunaan bahan,” katanya.

Dr. Noor Azniza berkata, praktis ilmu kaunseling yang melibatkan teori, kemahiran dan amalan proses kaunseling telah diadaptasi dalam kajian-kajian yang dilaksanakan bagi mendapatkan data dan memahami isu serta masalah yang dihadapi komuniti.

Menurutnya, pembudayaan celik psikologi akan memberi kematangan kepada emosi manusia dalam menjalani kehidupan bermasyarakat dengan bermula dari diri sendiri, seterusnya kepada ahli keluarga dan masyarakat persekitaran sebagai langkah untuk mengawal diri untuk berinteraksi dalam komuniti yang lebih stabil dan berkesan.

Di akhir syarahan itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan yang turut hadir telah menyampaikan cenderamata kepada Dr. Noor Azniza.