Gambar Zunaida Bahadur/UUM Today
SINTOK: Pertandingan Aerobathon sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menarik komuniti setempat untuk bersama-sama menjaga kesihatan diri.
Pertandingan anjuran Pusat Budaya dan Seni (PBS) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Kebudayaan Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK) UUM itu disertai kira-kira 50 peserta yang diadakan diadakan di Dewan Budi Siswa, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah PBS, Asmawiza Hussin berkata, sambutan menggalakkan daripada komuniti selain staf UUM membuktikan masing-masing kini semakin cakna untuk menjaga kesihatan diri.

Aerobathon ini diketuai oleh empat instruktur senamrobik berlesen iaitu Zulfami Shariff, Noramilia Ab Ishak, Noor Anzela Nurdin dan Norashikin Idros yang merupakan pegawai daripada IPD Kota Setar, Pegawai Kesihatan dan Pegawai kebudayaan daripada Universiti Malaysia Perlis.
Peserta, Siti Munirah Ashari yang pertama kali menjejakkan kaki ke UUM berasa teruja apabila dapat menyertai pertandingan tersebut.
“Penganjuran program ini mengeratkan lagi hubungan antara warga UUM dengan masyarakat sekitar.
“Saya berharap agar PBS dapat menjayakan program lain yang dapat melibatkan pendudukan sekitar, seterusnya memberi manfaat bersama,” ujarnya.
Norshafinas Rahim dari Jabatan Keselamatan dinobatkan sebagai johan Pertandingan Aerobathon yang membawa pulang hadiah wang tunai RM350 dan sijil, diikuti tempat kedua dimenangi Sazlina Sa’idon dan Fadhilah Dak @ Razak di tempat ketiga yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 dan RM150 berserta sijil.

Norshafinas berkata, program ini amat baik untuk kesihatan dan boleh melepaskan tekanan bekerja setelah menempuh jadual kerja yang padat.
Anugerah Paling Versatile, Anugerah The Best Outfit, Anugerah Paling Energetik, Anugerah Paling Sporting dan Anugerah Khas Juri dimenangi oleh komuniti luar yang kesemuanya membawa pulang hadiah wang tunai RM50 berserta sijil.