UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Agropelancongan tawar pengalaman berbeza

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Gambar: ZaatulHusna

Penginapan selesa, dikelilingi keindahan alam semulajadi, sungai yang jernih dan menyegarkan untuk mandi-manda serta menikmati kehidupan desa yang jauh dari hiruk pikuk bandar berkonsepkan agropelancongan antara tarikan utama yang menggamit pelancong.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Salmah Omar berkata, agropelancongan atau pelancongan pertanian merupakan salah satu aktiviti pelancongan yang menjadi pilihan masa kini yang menawarkan pelbagai aktiviti ala kampung.

Antaranya lawatan ke dusun buah-buahan dan ladang pertanian, ladang ternakan, perternakan ikan, kegiatan kraftangan, produk berasaskan makanan dan produk berasaskan kesihatan dan kesejahteraan.

Pelancong berpeluang menginap di chalet atau di desa di samping melakukan aktiviti harian masyarakat luar bandar pastinya mencipta kenangan, pengalaman menarik dan unik berbanding percutian biasa.

“Justeru, penyelidik UUM memilih KEDA Resort cawangan Bendang Man, Sik, Kedah sebagai salah satu tempat untuk menjalankan projek penyelidikan bertajuk ‘Pembentukan Kerangka Agropelancongan Islam: Ke Arah Membangunkan Potensi Pelancongan Agro Setempat Di Kedah’ yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di bawah Fundamental Research Grant Scheme (FRGS).   

“Objektif utama kajian untuk meneroka potensi agropelancongan di Kedah khususnya daerah Sik dengan cara penyelarasan dengan konsep pelancongan Islam selain mengenal pasti kriteria agropelancongan setempat serta meningkatkan industri agropelancongan di Sik, Kedah,” katanya.

Sambil berkelah di tepi jeram mendengar aliran sungai, kelihatan anak-anak tertawa riang mandi manda, selain aksi mencuit hati memeriahkan suasana. Jangankan si kecil, orang dewasa pun teruja mana tidaknya, segala keindahan berada di depan mata sekali gus mengeratkan silaturahim bersama keluarga dan sahabat handai.

Sementara itu, Pengurus, ZaatulHusna Zulkifli merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak UUM yang memilih resort ini untuk menjalankan projek penyelidikan termasuk mempromosikan KEDA Resort, penambahbaikkan fasiliti dan servis untuk menarik lebih ramai pelancong. 

“Sejak dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rangkaian Covid-19, sambutan daripada pelancong amat menggalakkan kerana setiap hari banyak tempahan daripada individu atau organisasi,” ujarnya.

Jelasnya, konsep resort yang berwarna-warni ini menonjolkan suasana yang ceria dan meriah selain menawarkan kepuasan untuk relaks, santai dan menyihatkan  serta menghidangkan pelbagai aktiviti menyeronokkan buat pengunjung yang datang bersama keluarga mahupun kawan-kawan.

Destinasi agropelancongan untuk bersantai, dan berekreasi yang diuruskan oleh KEDA Resort & Holidays Sdn. Bhd. telah beroperasi selama 12 tahun ini mampu memenuhi percutian idaman pelbagai lapisan umur, masyarakat dan bangsa.

Mengulas lanjut, sebanyak 47 bilik penginapan yang ditawarkan termasuklah asrama dan khemah di tapak perkhemahan selain kemudahan asas pondok rehat, parking, tandas, surau dan taman permainan.

Bagi yang ingin mengadakan aktiviti dalam skala besar seperti kursus atau seminar, resort turut menyediakan dewan serbaguna, auditorium, bilik mesyuarat, dewan makan, pakej makanan, kolam renang dan kawasan perkhemahan di samping menikmati kesegaran air bukit dari Hutan Lipur Lata Mengkuang. 

Walaupun kawasan ini terletak jauh di pedalaman, keselamatan pengunjung menjadi keutamaan dan terjamin kerana terletak dalam kawasan berpagar dilengkapi  pengawal keselamatan. 

Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal dan berpeluang melakukan aktiviti lasak seperti Jungle Tracking, night walk, flying fox, berkayak dan menjalankan aktiviti petanque sebagai salah satu aktiviti sepanjang menginap dan berekreasi di sini.

Selain itu, terdapat lebih kurang 140 sarang lebah kelulut di Kelulut Valley yang diusahakan sejak enam tahun lalu antaranya lebah kelulut spesis itama, kristal dan thoracica. Hasil madu kelulut turut dihantar ke makmal untuk diuji ketulenan serta mendapat pengawasan dari Jabatan Pertanian.

“Menariknya, pengunjung berpeluang untuk mempelajari serba sedikit tentang penternakan lebah kelulut dan merasai sendiri keenakan madu kelulut yang segar dan asli. Pengunjung juga berpeluang membeli dan jadikan madu kelulut sebagai cenderahati kenang-kenangan untuk dibawa pulang ke halaman masing-masing.

“Jika datang pada musim buah-buahan lagi seronok, pengunjung berpeluang mengutip buah di dusun dan merasai keenakan durian dan manggis dari tanah Sik yang subur,” katanya.

Pakej lengkap yang dimiliki termasuk keindahan dan keunikan, tidak hairanlah pengunjung dari seluruh Malaysia bertali arus datang ke sini baik hari biasa ataupun cuti untuk menghayati keindahan alam semulajadi sebagai suatu terapi minda.