UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Air pasang besar diramal landa dua daerah di Kedah mulai esok

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar BERNAMA

ALOR SETAR: Air pasang besar diramalkan melanda dua daerah di negeri Kedah iaitu Kota Setar dan Kuala Muda mulai esok sehingga Sabtu ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, air pasang besar dijangka berlaku di Kuala Kedah yang boleh menyebabkan paras air laut mencecah hingga 2.9 meter (m).

Susulan itu, menurutnya, antara lokasi dijangka dinaiki air ialah Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar diarahkan untuk melakukan pemantauan di kawasan itu ketika air pasang berlaku bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar.

“Air pasang dijangka berlaku pada jam 12.35 tengah malam esok, 1.09 pagi Jumaat dan 1.47 pagi Sabtu,” katanya..

Sementara itu di Kuala Muda, pantai Kota Kuala Muda dan pantai Tanjung Dawai dijangka terkesan dengan air pasang besar kali ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, sembilan kampung di tiga mukim berkemungkinan dinaiki air iaitu Kampung Kepala Jalan dan Kampung Hujung Matang di Mukim Kuala serta Kampung Sungai Meriam dan Kampung Sungai Yu di Mukim Bukit Meriam.

Selain itu, dijangka turut terkesan ialah Kampung Nelayan, Kampung Bagan Asam, Pekan Tanjung Dawai, Kampung Huma dan Kampung Sungai Pial di Mukim Merbok.

Azhar berkata, paras air laut dijangka mencecah 2.9m sepanjang tempoh tiga hari kejadian yang diramalkan itu.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan pesisir pantai dinasihatkan agar bersiap sedia untuk berpindah sekiranya kediaman mereka dinaiki air ketika air pasang besar melanda.