UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

AISRED UUM perkasa ilmu pengekosan usahawan asas tani negeri Perlis

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar TISSA-UUM/UUM Today

KANGAR: Kepakaran dimiliki Universiti Utara Malaysia (UUM) terus dikongsi bersama dengan masyarakat setempat agar kedua-dua pihak menerima manfaatnya.

Sehubungan itu, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Sistem Maklumat Perakaunan (Accounting Information System Research and Development Institute – AISRED), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Perlis telah menganjurkan program komuniti bertemakan ‘Pengekosan Produk: Biar Tahu, Jangan Keliru’ di Pusat Agro Pelancongan Bukit Temiang, Jabatan Pertanian Negeri Perlis, baru-baru ini.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman di mana dalam ucapannya berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada bentuk sokongan oleh jabatan kepada usahawan bagi membolehkan mereka memperoleh ilmu pengekosan dengan tepat menerusi jaringan koloborasi ini.

Menurutnya, pihaknya berhasrat untuk meneruskan kerjasama di antara agensi termasuk institusi pengajian tinggi seperti UUM dan AISRED dalam bidang berkaitan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah AISRED, Prof. Madya Dr. Hafizah Mohd Hsbollah berkata, objektif utama program bertujuan mendekati masyarakat dan berkongsi pengetahuan berkenaan asas pengekosan dan kaedah pengiraan kos produk dengan lebih tepat kepada peserta.

“Program pemindahan ilmu ini adalah selari dengan hasrat SDG4 dan SDG8 dalam usaha membantu usahawan asas tani merancang dan melaksanakan aktiviti perniagaan berasaskan pertanian dengan lebih tepat dan berkesan, seterusnya meyumbang kepada kelestarian pengeluaran dan perniagaan hasil pertanian negara.

“Program ini meliputi sesi suai kenal, bengkel pengekosan, aktiviti berkumpulan dan pembentangan rumusan yang disertai oleh lima felo AISRED berperanan sebagai penceramah dan fasilitator program,” katanya.

Secara keseluruhannya, peserta sangat berpuas hati dengan kandungan program yang ditafsirkan memberi dimensi yang lebih holistik dalam pengiraan kos dan perletakan harga produk pengeluaran hasil tani. – Dr. Fariza Hanim Rusly