UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

AKEPT peruntuk lebih RM100,000 untuk penganjuran InnoCoL

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

SINTOK: Universiti Utara Malaysia telah menerima peruntukan sebanyak RM108,856.33 daripada Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) bagi penganjuran Program Kepimpinan Inovasi dan Pengkomersialan Harta Intelek (InnoCoL).

Penyerahan replika cek disampaikan oleh Pengarah AKEPT, Dato’ Prof. Dr. Nasrudin Mohammed kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dengan disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Timbalan Pengarah AKEPT, Prof. Madya Dr. Azila Ahmad Sarkawi berkata, AKEPT berbesar hati memberi dana kepada UUM melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) bagi menganjurkan Program InnoCoL yang diadakan bagi memberi pemahaman dalam aspek strategik dan pengoperasian aktiviti inovasi dan pengkomersialan harta intelek universiti.

Menurutnya, program tersebut turut menerapkan nilai kepimpinan dalam pengurusan harta intelek universiti dan pengkomersialan produk inovasi.

“InnoCoL berjaya menghimpunkan lebih 50 peserta yang terdiri daripada Pengarah, Timbalan Pengarah dan Pegawai Pemindahan Teknologi dari Universiti Awam dan Swasta di seluruh negara,” ujarnya.

InnoCoL dilaksanakan dalam tiga (3) modul iaitu Modul Harta Intelek dan Pengkomersialan, Modul Pendrafan Paten dan Modul Pemindahan Teknologi.

Sementara itu, Pengarah ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar berkata, setelah tiga (3) siri InnoCoL berjaya dilaksanakan dan kesemua objektif telah tercapai, ICC bercadang untuk mengadakan InnoCoL siri empat (4) atau InnoCoL eXtended yang akan diadakan pada September 2023.

Hadir sama dalam Lawatan Kerja Menteri KPT ke UUM baru-baru ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.