UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Al-Ikhsan kongsi rahsia kejayaan bersama 300 pelajar UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SEFB/UUM Today

SINTOK: Syarikat rangkaian peralatan dan pakaian sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn bhd (Al-Ikhsan) telah berkongsi pengalaman kejayaan mereka bersama kira-kira 300 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Program Kesedaran Minda Keusahawanan (Inspire) anjuran Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) di Dewan Kuliah Gugusan 2/1, UUM COB, baru-baru ini.

Perkongsian bersama Eksekutif CSR Al-Ikhsan, Abdul Hazim Abdul Mohsin Rejaludin itu membawa pelajar mengetahui bagaimana Al-Ikhsan boleh muncul sebagai sebuah syarikat peruncitan barangan sukan terbesar di Malaysia.

Menurutnya, bermula dengan sebuah kiosk kecil bersaiz 100 kaki persegi sahaja pada 1993 sehingga berkembang mempunyai lebih daripada 190 buah cawangan di seluruh negara pada masa kini.

“Kami mahu pelajar memahami bahawa kejayaan tidak datang bergolek tetapi perlu kepada usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan, tidak mudah mengalah dengan segala cabaran yang menghalang, pengorbanan dan kekuatan yang bukan sedikit,” katanya yang turut berkongsi tiga rahsia kejayaan utama Al-Ikhsan yang ditekankan oleh pengasasnya, Ali Hassan Mohd Hassan dalam perniagaannya.

Pertama, sentiasa menjaga solat; kedua, sentiasa hormat kepada ibu dan bapa dan ketiga selalu bersedekah. Ketiga-tiga perkara penting ini telah menjadi asas dan pegangan penting dalam Al-Ikhsan sehingga berkembang maju.

“Percayalah! Amal baik-baik tiga perkara ini. Dengan izin Allah SWT kelak anda semua akan berjaya seperti Al-Ikhsan. Saya nak pesan kepada adik-adik semua, belajarlah dengan bersungguh-sungguh dan gunakan ilmu yang dipelajari dengan penuh manfaat,” ujarnya lagi.

Dalam program ini juga Al-Ikhsan telah berkongsi ilmu keusahawanan dan taklimat kerjaya serta menyediakan pelbagai hadiah dan cenderahati melalui kuiz-kuiz.

Selain itu, Al-Ikhsan juga telah menunaikan tanggungjawab korporat mereka dengan memberi sumbangan berupa keperluan makanan kepada 10 pelajar dari golongan B40 terpilih.

Penerima, Nur Fatin Adila Aziz, pelajar Program Sarjana Muda Sains Ekonomi mengucapkan terima kasih kepada Al-Ikhsan kerana memberikan sumbangan makanan ini yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangannya untuk membeli makanan.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih diatas sumbangan Al-Ikhsan ini dan ini merupakan kali pertama beliau menerima bantuan daripada sebuah syarikat swasta.

“Saya berharap sumbangan ini dapat diteruskan lagi pasa masa hadapan dan diperbanyakkan lagi jumlah penerima sumbangan agar lebih ramai pelajar dapat manfaat dan hasilnya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jaringan Industri dan Komuniti SEFB, Khairul Anuar Adnan berkata, kolaborasi strategik antara SEFB dan Al-Ikhsan ini secara tidak langsung dapat memberikan impak dan manfaat yang positif kepada pembangunan minda keusahawanan pelajar dan seterusnya menjadikan bidang keusahawanan sebagai salah satu pilihan utama kerjaya mereka apabila keluar daripada universiti nanti.

“Program ini sudah pasti memberikan alternatif  terbaik dalam merangsang dan memupuk minat pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan yang dinamik ini dan tidak terlalu bergantung kepada pekerjaan makan gaji semata-mata sahaja.

“Semoga lebih banyak program serta perkongsian ilmu keushawanan antara Al-Ikhsan dan UUM akan dapat dijalankan secara berterusan dan melibatkan lebih ramai penyertaan agar ilmu yang diperolehi dapat dijana ke arah kebaikan kepada pelajar UUM khususnya dan kepada negara amnya serta dapat membantu lebih ramai lagi pelajar-pelajar untuk mencapai cita-cita mereka,” katanya.