UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Alrohmah, UUM tingkat bilangan peserta untuk umrah, pelancongan Islam

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Alrohmah Tours & Services Sdn. Bhd. dan Universiti Utara Malaysia bertekad untuk meningkatkan bilangan peserta menunaikan umrah dan pelancongan Islam.

Sehubungan itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengharapkan penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat pengendali umrah dan pelancongan Islam itu dapat ditingkatkan kepada 10,000 penerbangan setahun berbanding 6,000 pada tahun lalu.

Menurutnya, melalui memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani hari ini pastinya akan memberi manfaat yang baik antara kedua pihak dalam usaha meningkatkan perkhidmatan dan pengurusan pelancongan Islam.

Katanya, perjanjian ini akan memberi fokus dalam meningkatkan kerjasama universiti-industri dalam pelbagai aspek antaranya memberikan khidmat pelancongan Islam yang berkualiti.

“Amalan menyantuni tetamu Allah dan menguruskan jemaah umrah merupakan suatu pekerjaan yang mulia.

“Sebagai contoh, Rasulullah SAW pernah membentuk satu kumpulan petugas khusus bagi membantu menyediakan makanan dan minuman kepada tetamu Allah ketika musim Haji. Pendekatan yang sama ingin diteruskan oleh Pusat Islam UUM dalam menyantuni para jemaah yang bakal menjadi Dhuyufur Rahman,” katanya pada Majlis Menandatangani MoA Antara UUM dengan Alrohmah Tours and Services Sdn. Bhd. di Balai Tamu, pagi ini.

Dr. Mohd Foad berkata, kerjasama ini akan memberi peluang dan ruang kepada petugas yang terdiri daripada staf dan mahasiswa UUM untuk melatih diri agar lebih komited bagi meningkatkan mutu pengurusan berkualiti ketika menguruskan jemaah.

Menurutnya, beliau berharap agar pihak Alrohmah Tours & Services Sdn. Bhd. dapat memainkan peranan bersama-sama dalam memberikan khidmat pengurusan dan pengendalian umrah yang berkualiti.

Selain itu, katanya, jemaah juga akan memperolehi pengetahuan dan pengalaman dengan menziarahi tempat-tempat bersejarah di sana.

“Peluang ini dapat meningkatkan ketaqwaan dan penghayatan Islam kepada para jemaah, seterusnya menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya.

MoA tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor dan juga Pengarah Urusan Alrohmah Tours & Services Sdn. Bhd., Azhar Che Lat.

Sementara itu, Azhar berkata, beliau berterima kasih kerana dapat menandatangani MoA dengan UUM dan pada masa sama menjadi peneraju umrah di universiti ini.

Menurutnya, berkat kerjasama ini juga, pada 2025 Alrohmah telah dilantik sebagai pengendali Tabung Haji (TH) yang sah.

Katanya, Alrohmah akan cuba meluaskan pakej umrah bukan sahaja ke lokasi seperti Baitulmaqdis, Turki dan Cairo, sebaliknya akan meluaskan pakej umrah ke lokasi lain juga.

“Tahun 2024 merupakan Tahun Melawat UUM, jadi Alrohmah boleh mempromosikan UUM. Banyak yang boleh dipelopori selain bawa ke Thailand, boleh singgah ke UUM.

“Saya berharap kerjasama antara Alrohmah dan UUM akan berkekalan supaya kedua-dua pihak dapat melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail, Pengurus Besar Alrohmah Tours & Services Sdn. Bhd., Wan Affandi Azam Wan Hussin dan Pengarah Pusat Islam UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie.