UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pusat Alumni UUM bantu perkasa kemahiran PdP guru

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Khairul Azman Rohim/UUM Today

BALING: Memperkasa dan meningkatkan kemahiran guru antara perkara yang paling penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat disampaikan kepada pelajar semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Menyedari kepentingan perkara itu, Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini telah mengadakan Bengkel Pembelajaran Interaktif Digital untuk guru daripada Sekolah Khas Baling (SKB) dan Sekolah Kebangsaan Kampung KEDA (SKKK).

Bengkel yang berlangsung selama sehari itu dihadiri seramai 42 guru dari kedua-dua sekolah tersebut.

Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don berkata, perkembangan digital sangat pantas dalam era dunia sekarang.

Menurutnya, sesuai dengan perkembangan tersebut, sesi PdP akan menjadi lebih menarik dengan adanya interaktif digital yang mampu menarik minat murid untuk fokus belajar.

“Kita mendapat maklum balas yang sangat baik daripada peserta dan pihak sekolah tentang program ini.

“UUM bersedia untuk meneruskan lagi program-program perkongsian kemahiran seperti ini dengan bantuan alumni kita demi pembangunan pendidikan dan sekolah khususnya di Kedah” katanya.

Bengkel yang juga dikenali sebagai Knowledge Transfer Programs (KTP) itu dikendalikan oleh dua orang pakar bidang PdP digital dari UUM iaitu Dr. Siti Nazuar Sailin dan Dr. Hafizah Mohamad Hsbollah yang merupakan alumni UUM tahun 2000.

Sementara itu, guru Sekolah Khas Baling, Noor Aniza Baharom berkata, bengkel seperti ini sangat membantu guru-guru meningkatkan kemahiran PdP digital mereka, sekali gus dapat mewujudkan kaedah pembelajaran yang lebih sesuai mengikut peredaran semasa.

Katanya lagi, semua peserta berharap dapat mengikuti lagi program perkongsian kemahiran seperti ini pada masa hadapan.