Sintok: “Saya anak orang susah sehinggakan nak beli susu formula pun tak lepas, mak cuma bagi rendaman air beras menggantikan susu, malah kami pernah makan ubi rebus dan nasi air garam.
“Balik sekolah terus ikut ayah berniaga di pasar malam dengan baju sekolah pun tidak tukar lagi. Mungkin tidak semua faham apa erti susah namun semua itu menjadi kekuatan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan membanggakan mak ayah yang terlalu lama bergelumang dengan kesempitan hidup.”
Demikian luahan Nursuhaila Tasman, pelajar cemerlang UUM yang menerima Anugerah Kecemerlangan PTPTN pada Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM), yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Jelasnya, ayah bekerja sebagai peniaga buah. Berniaga di pasar malam bukan mudah kerana terpaksa mengharungi hujan panas sesekali diserang sakit kencing manis. Paru-parunya perlu ditebuk selepas pembedahan, ayah tidak dapat melakukan kerja berat lagi jadi ibu dan adik beradik yang membantu dari pagi hingga malam.

“Saya bukan dari keluarga senang sebab itu setiap cuti semester saya akan bekerja mencari duit poket membiayai kehidupan di kampus jadi sepanjang 4 tahun saya bayar semua pengajian dan tidak susahkan mak ayah dengan duit tabungan yang saya kumpul.
Onak, ranjau dan kesusahan yang dialami membulatkan tekadnya untuk membayar semua penderitaan ini dengan memburu ilmu serta belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih selesa buat yang tersayang.
“Alhamdulillah sekarang keluarga saya semakin selesa memandangkan adik beradik sudah bekerja. Saya juga suka kerja sebab saya ada ‘mindset’ jika mahukan sesuatu kena kerja jangan meminta-minta,” ujar graduan Sarjana Muda Kaunseling.
Kini bekerja di Salam Alliance Sdn Bhd anak syarikat Amal Valley Organization (AVO) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan usaha untuk membantu asnaf dan komuniti yang kurang berkemampuan terutama di dalam pengurusan jenazah (termasuk pengurusan jenazah COVID-19) serta bantuan perubatan (panel perubatan, perkhidmatan ambulan komuniti & van mobiliti) secara percuma.
“NGO ini menguruskan jenazah secara percuma ke seluruh Malaysia, saya menjadi sukarelawan dengan membantu mandi dan kafan jenazah dan hantar jenazah ke tanah perkuburan.
Katanya, kematian adalah hakikat yang pasti berlaku dan pengurusan jenazah ini sebenarnya mudah untuk dilakukan tetapi akan menjadi sukar apabila tidak dipelajari.

“Mungkin ramai yang takut untuk urus jenazah dengan pelbagai persepsi, tapi bila kita sudah buat, perasaan takut itu akan hilang dan rasa puas dapat memudahkan urusan waris.
“Pada mulanya saya pun takut tengok muka jenazah kerana tidak semua jenazah itu sempurna misalnya luka berdarah, kekurangan anggota badan dan reput tetapi dengan tanggungjwab yang tergalas di bahu kita cekalkan hati agar berani melihat dan menyentuh jenazah,” ujarnya.
Pastinya pengalaman menguruskan jenazah tidak akan dilupakan, perasaan bercampur baur, takut, sedih pada masa sama memberi kesedaran kepada yang masih hidup bahawa kematian itu adalah benar dan menjadikan kita selalu mengingati kematian.
Jelasnya, banyak manfaat yang diperoleh bila pandai menguruskan jenazah seperti dapat mandi dan kafankan ahli keluarga apabila berlaku kematian terutamanya ibu bapa sendiri sebagai tanda menabur bakti yang terakhir.
“Bagi mencapai objektif mewujudkan pasukan Muslimah mengurus jenazah dari awal hingga akhir, jadi saya ambik lesen GDL untuk memandu van jenazah. Bukan itu sahaja penting juga ketika bencana berlaku untuk membawa barangan ke kawasan bencana.
“Apabila banjir, saya membantu menyediakan barangan keperluan dan kotak makanan bagi mangsa yang terkesan dengan banjir jadi Lesen GDL ini memudahkan saya membawa van jenazah,” tambahnya.